NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Struktur ekonomi perlu diubah untuk sokong pertumbuhan



Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan perangkaan terbaru ekonomi Malaysia untuk suku ke 2 2017 (2Q) iaitu pertumbuhan pada 5.8%. Ini merupakan peningkatan sebanyak 1.8% secara tahunan (YoY) iaitu sebanyak 4.0% dalam tahun 2016. Angka 2Q ini juga merupakan peningkatan lebih baik berbanding suku pertama 2017 (1Q) iaitu pada 5.6%.


Antara sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ini adalah pembinaan yang tumbuh sebanyak 8.3%, perkhidmatan (6.3%), pembuatan (6.0%), pertanian (5.9%), dan perlombongan & kuari (0.2%). Berdasarkan perangkaaan ini, BNM menjangkakan pertumbuhan negara kasar (GDP) untuk 2017 adalah melebihi 4.8%.


Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) menyambut baik perkembangan positif ekonomi negara ini. Sudah pasti ianya akan memberi kesan langsung yang lebih baik kepada rakyat yang selama ini amat terbeban dengan suasana ekonomi yang terherot dan kos hidup yang semakin meningkat.


Walau bagaimana pun LEPU berpandangan bahawa Malaysia masih lagi terkongkong dengan masalah struktur ekonomi yang salah dan tidak mapan yang boleh menyebabkan ianya tidak mampu untuk berdaya saing dan berdaya tahan. Ini kerana berdasarkan petunjuk prestasi terkini sepertimana di atas, penyumbang utama kepada pertumbuhan adalah sektor pembinaan yang tumbuh pada kadar 8.3%. Prestasi sektor pembinaan ini sudah dijangka disebabkan kerancakan pelaksanaan projek-projek mega negara sekarang seperti MRT (dianggarkan RM50 billion), Lebuhraya Pan Borneo (RM12 billion) dan yang lain. Malah margin pertumbuhan sektor pembinaan adalah amat dominan berbanding sektor lain yang jelas menunjukan ketidakseimbangan.


Walaupun tidak dinafikan input modal melalui projek-projek mega yang mempunyai pekali tinggi ini mampu menggerakkan ekonomi, namun ianya tidak mapan dan bersifat sementara. Pelaksanaan projek-projek mega ini juga akan memberi kesan kepada impot, kekuatan nilai matawang Ringgit dan juga imbangan pembayaran. Oleh itu ianya tidak harus kekal menjadi kompenan utama pertumbuhan ekonomi negara dan struktur ini harus diubah.


Jesteru, LEPU berpandangan struktur ekonomi kini perlu dirangka semula kepada yang lebih mapan dan berdaya tahan iaitu memberi *lebih tumpuan untuk meningkatkan sektor perkhidmatan dan pembuatan yang lebih mesra kepada pasaran domestik dan penggunaan.* Peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan akan juga mampu memperkasa input buruh dalam struktur ekonomi negara sekarang yang akhirnya menghasilkan ekonomi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan terutama dalam menghadapi iklim ekonomi dunia sekarang.


Dalam masa yang sama, isu-isu semasa negara yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara haruslah ditangani segera sepertimana isu 1MDB yang telah menjejaskan keyakinan pasaran, GST yang membebankan pengguna dan masalah kecairan negara.


Sekian.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS (LEPU)

Ahad 27 Zulkaedah 1438/ 20 Ogos 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=812073885667313&id=559464100928294

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo