Atasi Segera Masalah Kecairan Negara - 1Media.My

Header Ads

Atasi Segera Masalah Kecairan Negara

Lujnah Ekonomi dan Usahawan PAS Pusat (LEU)  mendesak kepada kerajaan agar mengambil langkah-langkah drastik dengan segera bagi memperbaiki kadar kecairan dalam sistem kewangan negara
Lujnah Ekonomi dan Usahawan PAS Pusat (LEU) memandang serius kemerosotan prestasi data-data kewangan semasa negara terutamanya Nisbah Pinjaman Deposit (LDR). Ini adalah berdasarkan data-data analisa yang dikeluarkan oleh penganalisa bank-bank serantau. Sehingga tempoh akhir bulan Mac 2017 LDR untuk kebanyakan bank tempatan adalah melebihi 90% berdasarkan laporan oleh CIMB Investment Bank. Manakala Maybank Kim Eng melaporkan bahawa dalam tahun 2016 purata LDR bank-bank Malaysia adalah 93.5%.

Petunjuk di atas adalah indikasi kemerosotan kadar deposit dalam sistem kewangan negara, terutama untuk simpanan tetap. LEU amat bimbang sekiranya trend begini berterusan maka kos deposit bank-bank akan semakin meningkat yang akhirnya akan merencat pertumbuhan ekonomi dan permintaan. Ini harus diatasi dengan segera apa lagi dalam suasana ekonomi dunia dan serantau yang tidak menentu sekarang.

Jesteru itu LEU mendesak kepada kerajaan agar mengambil langkah-langkah drastik dengan segera bagi memperbaiki kadar kecairan dalam sistem kewangan negara. Antara desakan kami adalah seperti berikut:

1.     Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menilai dengan segera kadar faedah semasa. Ini adalah kearah untuk menaikkan kadar faedah pada tahap yang lebih sesuai untuk meningkatkan lagi deposit terutama bagi sektor simpanan tetap. Kali terakhir BNM telah menurunkan kadar asas semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.

2.     Kerajaan perlu mengkaji dan mempelbagaikan lagi sumber kecairan negara agar pertumbuhan dan permintaan boleh terus disokong dan ditingkatkan. Ini termasuklah insentif cukai yang lebih kondusif kepada rakyat dan menarik balik pelaksanaan GST.

3.     BNM perlu melihat untuk melonggarkan dasar pemberian pinjaman oleh bank-bank ke tahap yang munasabah. Ini tidak secara langsung akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan deposit bank-bank di Malaysia.

Sekian.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan,
Parti Islam SeMalaysia (PAS).

10 Ogos 2017.