Tanpa kerjasama kerajaan tidak dapat berfungsi - 1Media.My

Header Ads

Tanpa kerjasama kerajaan tidak dapat berfungsi



Dewan Negeri Selangor akan mula bersidang pada 24 Julai sehingga 4 Ogos depan.

Wartawan 1Media.my, Afwan Khalili telah sempat bertemu Ustaz Shafie Ngah, Timbalan Speaker Dewan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri Bangi yang mewakili PAS. Beliau juga adalah Pengerusi Pertubuhan Penggerak Hasrat Rakyat Negeri Selangor (HASRAT).

Berikut adalah temuramah bersama beliau,

1.) Apakah isu-isu utama yang akan dibawa oleh ADUN2 PAS pada sidang Dewan kali ini?

Sidang kali ini adalah sidang pertengahan tahun setelah Belanjawan 2017 dilaksanakan. Saya berharap Ahli-Ahli Dewan Negeri PAS akan menyemak sejauh mana tindakan telah diambil oleh pihak Kerajaan Negeri terhadap Belanjawan 2017 tersebut.

Kami mesti memastikan program-program yang dirancang telah dilaksanakan. Rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan negeri dan mereka tidak sepatutnya dihampakan.

2.) Adakah keduduka ADN-ADN PAS sebagai ADN kerajaan menghalang mereka dari menegur kerajaan negeri.

Tidak tetapi teguran mestilah berhemah. Sebagai ADN atau parti kerajaan terdapat banyak saluran untuk membuat teguran atau cadangan. Kami bukan pembangkang yang terpaksa mengadakan demonstrasi tetapi sebahagian dari kerajaan di mana kami sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan agenda-agenda kerajaan dapat dilaksanakan.

3.) Adakah akan berlaku kerjasama di antara PAS dan parti2 kerajaan yang lain (PKR dan DAP) pada sidang kali ini memandangkan ini sidang pertama sejak PAS memutuskan hubungan dgn PKR?

Sudah tentu ada kerjasama sesama parti komponen yang mentadbir negeri Selangor hari ini. PAS terus komited melaksanakan mandat rakyat yang diberikan pada PRU13 yang lalu. Tanpa kerjasama di dalam kerajaan maka kerajaan tidak akan dapat berfungsi.

4.) Adakah ADN-ADN merasakan ini sidang terakhir sebelum PRU14?

Mungkin tidak. Saya menjangkakan PRU14 diadakan selepas Perdana Menteri membentang Bajet 2018. Beliau sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk memberikan "gula-gula" kepada rakyat.

Justeru itu, Selangor juga dijangka akan mengadakan sidang Dewan Negeri pada hujung tahun ini untuk membentang Belanjawan Selangor 2018.

5.) Apakah perbezaan sidang Dewan Negeri Selangor dan Dewan2 Negeri lain?

Negeri Selangor sangat unik kerana kami berbeza dari segi pendekatan politik tetapi kami berupaya melupakan perbezaan tersebut untuk sama-sama mentadbir negeri ini. Kami perlu melakukannya demi kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

6.) Bagaimanakah hubungan ADN PAS dan ADN UMNO di dalam Dewan?

PAS dan UMNO adalah musuh politik kerana dasar dan halatuju yg berbeza. Justeru hubungan ADN-ADN PAS dgn ADN-ADN UMNO adalah seperti sedia ada, iaitu sebagai kawan sesama Ahli Yang Berhormat, tetapi sebagai musuh dalam perjuangan. Tidak ada kerjasama di antara PAS dan UMNO. (1Media.my)