#RUU355: PAS optimis dibahas pada sidang parlimen kali ini - 1Media.My

Header Ads

#RUU355: PAS optimis dibahas pada sidang parlimen kali ini



Oleh: SALMIYAH HARUN  26 JULY 2017

PAS optimis RUU 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan dibahaskan pada sidang parlimen yang sedang berlangsung kali ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tidak ada sebab untuk parlimen tidak boleh membahaskan RUU Persendirian 355.

"Kerana sudah separuh ianya dibahaskan jadi ianya patut terus dibahaskan. Dan kalau boleh mengundi, kita undilah," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.

Tambahnya, ketidakhadiran Ahli Parlimen Marang itu tidak menjadi halangan untuk RUU itu dibahaskan.

Usul Persendirian Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah  (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) telah dibacakan pada 6 April 2017 lalu.

Usul Ahli Parlimen Marang.

PR-1352-U(27)038

Dato' Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang [ Marang ] akan mencadangkan :-
"Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:

Pindaan Seksyen 2

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [ Akta 355 ] dipinda dalam proviso kepada seksyen 2 dengan menggantikan perkataan "penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali" dengan perkataan "penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah."
[ Menteri di Jabatan Perdana Menteri ]