Kelantanomic, Model Ekonomi Kelantan - Syahir Sulaiman - 1Media.My

Header Ads

Kelantanomic, Model Ekonomi Kelantan - Syahir Sulaiman



“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Pendahuluan.

Kajian berkenaan model pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan adalah sangat terhad. Hal ini kerana kebanyakan penyelidik dan pengkritik cenderung untuk mengkaji sistem politik, sosial dan undang-undang Syariah di Kelantan, berbanding menilai keunikan sistem ekonomi yang dilaksanakan di Kelantan.

Penulisan ringkas ini bertujuan untuk menilai pencapaian pembangunan ekonomi negeri Kelantan sebagai model perekonomian yang yang seimbang, memenuhi maksud pembangunan di antara dua tuntutan hakiki, iaitu kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.

Di samping itu, penelitian terhadap pembaharuan di dalam dasar ekonomi Kelantan turut membuka dimensi kajian pemikiran ekonomi yang diterapkan oleh Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (“TGNA”) sepanjang pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan pada tahun 1990 hingga 2013.

Model Pembangunan Ekonomi Kelantan.

Pendefinisian “pembangunan” di Kelantan ternyata berbeza dengan definisi konvensional, di mana dasar Membangun Bersama Islam (MBI) ditakrifkan sebagai:

“Pelaksanaan pembangunan yang menyeluruh dan serasi dengan nilai-nilai Islam, mementingkan aspek kemanusiaan, dimantapkan dengan ketaatan kepada agama dan tidak memudaratkan sosial dan moral manusia, demi mencapai keredhaan Allah.” (Kertas Kerja Dasar MBI, 2006).

Di samping itu, aspek pembangunan modal insan diletakkan sebagai teras utama di dalam agenda pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan, sejak 1990. Selaras dengan dasar MBI, kerajaan Kelantan menekankan ketinggian kualiti pendidikan dan pembudayaan ilmu di dalam masyarakat sebagai pencetus perubahan (catalyst) bagi menjana pertumbuhan.

Berdasarkan kepada Lima Prinsip Pembangunan Ekonomi yang digariskan di dalam dasar Membangun Bersama Islam, terdapat Lima Model Ekonomi Berasaskan Syariat yang telah berfungsi di Kelantan, dan boleh diterima pakai di dalam dasar perekonomian sesebuah negeri mahupun negara, iaitu:

1. Model Ekonomi Sederhana (Wasatiyyah).

Antara dasar pertama yang diambil sebaik sahaja memegang tanggungjawab mentadbir negeri ialah dasar penjimatan terhadap dana kerajaan negeri. Selain itu, Menteri Besar dan EXCO Kerajaan telah menunjukkan teladan dengan menyumbangkan sebahagian daripada kelayakan elaun kepada pelbagai tabung kebajikan.

Malah rekod bersih pentadbiran kerajaan Kelantan yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa sejak 1990 menjadi model pencegahan rasuah terbaik, mendahului usaha memerangi rasuah dan meningkatkan tahap integriti di dalam negara melalui mekanisma penguatkuasaan dan pendakwaan.

2. Model Ekonomi Rakyat (Ta’awun).

Selain peranan pihak kerajaan negeri sebagai penggubal dasar dan pengawalselia aktiviti pembangunan dan kebajikan, kerancakan dan dayatahan ekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang ini turut disokong oleh kekuatan kuasa beli (purchasing power) dan permintaan tempatan (domestic demand) di kalangan rakyat negeri Kelantan, khususnya dalam aspek perniagaan kecil dan sederhana, ditambah pula dengan budaya sedeqah, zakat dan waqaf yang sinonim dengan rakyat negeri Kelantan.

Kerajaan Kelantan juga telah berjaya membudayakan semangat tolong-menolong bagi melaksanakan projek kecil-kecilan melalui kaedah Ta’awun. Selain dapat menyuntik semangat kekitaan sesama rakyat, konsep ini juga merupakan satu kaedah yang dapat menjimatkan kos sehingga separuh daripada kos binaan biasa yang dilaksanakan secara tender.

3. Model Ekonomi Bebas Riba’.

Tindakan kerajaan Kelantan memindahkan akaun kerajaan negeri dari sistem perbankan konvensional kepada perbankan Islam di awal tahun 1990an telah menyuburkan usaha mengembangkan institusi kewangan Islam yang baru memasuki fasa kedua pembangunannya (1990–1999), sehingga Malaysia kini digelar sebagai hub kewangan Islam utama di dunia.

Selain itu, Kelantan telah memperkenalkan pembiayaan berteraskan Qardhul-Hasan (tanpa riba’) kepada kakitangan kerajaan, di samping mempelopori sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) sebagai alternatif kepada amalan riba’ dan mekanisma untuk merancakkan perniagaan kecilan dan memecahkan belenggu kemiskinan.

4. Model Ekonomi Pertanian.

Pembangunan di sektor pertanian boleh membantu ke arah pembasmian kemiskinan yang dihadapi oleh para petani dan pekebun di luar bandar. Pada tahun 2006, kerajaan negeri Kelantan telah melaksanakan Program Ladang Rakyat yang merupakan satu inisiatif kerajaan negeri bagi membendung masalah penerokaan tanah kerajaan dan membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan.

Seterusnya bagi memastikan sektor pertanian di Kelantan berkembang sejajar dengan tuntutan agama, kerajaan Kelantan telah melancarkan program ‘Bertani Satu Ibadah’ pada tahun 2009. Ini bersesuaian dengan usaha untuk menggalakkan partisipasi rakyat dan generasi muda dalam sektor pertanian, seterusnya meningkatkan tahap hidup golongan petani secara lebih menyeluruh.

5. Model Ekonomi Kifayah.

Kelantan menunjukkan komitmen dalam usaha membasmi kemiskinan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan seimbang, walaupun negeri ini menghadapi banyak kekangan dari segi modal dan infrastruktur.

Di samping pelbagai program bantuan golongan miskin dan pembangunan luar bandar, Kelantan turut memberi bantuan rumah untuk golongan miskin di bawah program Rumah Dhu’afat bermula pada tahun 2006, selain program Bantuan Beras Percuma atau dikenali sebagai Skim al-It’am yang dilaksanakan bermula pada tahun 2011.

Kesimpulan.

Penilaian terhadap pencapaian pertumbuhan ekonomi Kelantan yang bersifat menyeluruh dan seimbang ini membawa kepada tiga kesimpulan penting.

Pertama, asas utama pembangunan yang bertunjangkan modal insan berkualiti ternyata menjadi pemangkin kejayaan sesebuah negeri atau negara untuk terus membangun secara lestari, dan Kelantan telah memulakannya di awal tahun 1990 ketika kerajaan Persekutuan memperkenalkan dasar Wawasan 2020 bagi mengejar status negara maju yang bersifat materialistik.

Kedua, banyak reformasi dan inovasi dalam aspek pentadbiran dan perekonomian yang telah diperkenalkan di Kelantan, mendahului pelaksanaan dasar dan program yang dilaksanakan di peringkat persekutuan mahupun swasta. Malah rekod bersih pentadbiran kerajaan Kelantan yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa sejak 1990 menjadi model pencegahan rasuah terbaik, mendahului usaha memerangi rasuah di peringkat Persekutuan.

Ketiga, penumpuan aspek pembangunan yang seimbang bagi mengoptimakan produktiviti sumber alam, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kemakmuran negeri meletakkan Kelantan sebagai negeri model dalam mengadaptasi ukuran “Indeks Kegembiraan” seperti Gross National Happiness (GNH) dan Human Development Index (HDI) yang kini mula mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Ternyata, pelaksanaan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ di negeri Kelantan telah merealisasikan wawasan pengwujudan sebuah model ekonomi berasaskan syariat yang praktikal. Ia bukan sahaja telah mendahului beberapa aspek pembaharuan dalam pelbagai bidang, malah wajar dijadikan model perekonomian yang memenuhi maksud pembangunan yang seimbang dan sejahtera.

*Artikel ini adalah ringkasan kepada kertas kerja bertajuk “Ekonomi Berasaskan Syariat: Model Kelantan” yang dibentangkan oleh penulis di dalam “Seminar Islam Dalam Ketamadunan Kelantan” anjuran Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia pada 10 Julai 2017 di Bangi, Selangor.