Header Ads

SPR mungkin guna persempadanan pilihan raya lama

Jika ini tidak dapat diselesaikan mengikut masa, maka (SPR) perlu menggunakan persempadanan pilihan raya lalu pada pilihan raya akan datang. - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mungkin terpaksa menggunakan persempadanan kawasan pilihan raya sedia ada untuk pilihan raya umum akan datang dan bukannya persempadanan semula yang dicadangkan pada 8 Mac lalu.

Ini berikutan beberapa pihak yang mencabar persempadanan semula itu dan kes berkenaan seperti di Selangor dan Melaka yang masih dibicarakan di mahkamah.

Dalam temu bual dengan akhbar harian Cina, Oriental Daily, Hashim mengakui kes mahkamah itu menjejaskan proses cadangan persempadanan semula oleh SPR.

Oleh itu, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada proses persempadanan semula itu akan dapat diselesai sebelum pilihan raya umum yang akan datang, yang mesti diadakan tidak lewat sebelum Ogos 2018.

"Jika ini tidak dapat diselesaikan mengikut masa, maka (SPR) perlu menggunakan persempadanan pilihan raya lalu pada pilihan raya akan datang," katanya yang dipetik oleh akhbar itu.

Mohd Hashim berkata SPR tidak boleh menguna-pakai persempadanan semula baru jika tanpa persempadanan semula di Selangor dan Melaka.