Header Ads

FGV Perlukan PM Baru – Syahir Sulaiman



Gagah mara menyemai bakti, penuh daya setulus hati, hikmat setia luhur berbudi, demi negara yang dicintai – Lagu Semai Bakti FELDA

FELDA Legasi Tun Razak.

FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, pastinya tidak dapat dipisahkan daripada jasa besar Almarhum Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kedua.

Penubuhan FELDA di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (1956) pada 1 Julai 1956 merupakan cetusan idea Tun Razak yang bertujuan untuk mengatasi masalah kemiskinan masyarakat luar bandar dan meningkatkan taraf hidup golongan peneroka. Kesungguhan Tun Razak terpancar dengan kesanggupannya berhujan dan berpanas, merentas kampung dan desa bagi memastikan pembangunan yang dirancang berjalan lancar, di samping mendengar sendiri rintihan peneroka dan masyarakat luar bandar.

Selepas kemerdekaan negara pada 1957, FELDA diletakkan di bawah kepimpinan seorang Menteri Persekutuan dan Pengerusi yang dilantik. Tun Razak sendiri merupakan Menteri kedua yang menerajui FELDA dalam tempoh 1959 – 1970, diikuti Tun Ghafar Baba dalam tempoh 1970 – 1972. Menariknya, FELDA pernah diterajui seorang Menteri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semasa berada di dalam Kerajaan Campuran, iaitu pada tahun 1973 – 1977.

Tan Sri Datuk Mohamad Asri Muda yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah berjaya membawa perubahan besar di dalam FELDA. Antaranya dengan menerapkan etika kerja Islam di dalam pentadbiran FELDA, di samping menyuntik budaya hidup Islam di tanah rancangan FELDA, melalui pengimarahan masjid dan surau dengan aktiviti agama dan keilmuan, dan pemberian lebih banyak biasiswa kepada anak peneroka untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

FGV Liabiliti Najib Razak.

Bermula April 2004, FELDA diletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri ke-enam.

Pada 2007, FELDA telah memperbadankan FGV Holdings Sdn Bhd (kini FGV Holdings Berhad) untuk beroperasi sebagai entiti komersial bagi pelaburan antarabangsa, perniagaan sawit huluan dan hiliran dan juga perniagaan agro yang lain. Bagi menampung perkembangannya, FGV telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012, dan dilantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi sehingga kini.

FGV yang diapungkan pada tahun 2012 dijulang sebagai penyenaraian IPO kedua terbesar di dunia selepas Facebook, dan dilaungkan sebagai penjamin masa depan peneroka. Namun ianya bukan sahaja gagal memberi pulangan lumayan kepada peneroka FELDA sebagai ‘pemilik’ utama, malah FGV terus dilanda kontroversi khususnya yang melibatkan Pengerusi dan mantan CEO yang pertama.

Dalam perkembangan terbaru, Lembaga Pengarah FGV yang dipengerusikan Tan Sri Isa telah menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan, mulai 6 Jun 2017. Kontroversi terbaru ini bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan perniagaan FGV, malah terus memberi tekanan kepada harga saham FGV yang diniagakan di bawah paras RM1.80 sesaham, jauh daripada harga IPO pada kadar RM4.55 sesaham.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap FELDA, Datuk Seri Najib telah menggariskan tiga langkah untuk menyelesaikan kemelut FGV, dan mahu ianya selesai sebelum Hari Raya. Ternyata selepas skandal 1MDB, kini FGV pula menjadi liabiliti kepada Datuk Seri Najib, bukannya legasi sebagaimana yang diwariskan oleh Tun Razak.

Formula PM Baru Untuk FGV

Jika Datuk Seri Najib menggariskan tiga langkah penyelesaian kemelut FGV ini, penulis berpendapat, sebarang usaha pemulihan akan menemui jalan buntu tanpa perubahan struktural di peringkat tertinggi pengurusan dan urustadbir FGV.

Reformasi struktural yang dimaksudkan ini melibatkan dua langkah strategik yang perlu diambil oleh FGV dalam masa terdekat, dan boleh disimpulkan dengan formula ‘PM Baru’ iaitu Pengerusi dan Mandat Pelaburan yang baharu;

1. P: Pengerusi Baru – Melihat kepada kemelut berpanjangan FGV sejak Tan Sri Isa dilantik oleh PM pada 2011, adalah disarankan agar perlantikan Pengerusi GLC seumpama FGV ini dipilih di kalangan professional dan teknokrat berpengalaman.

Ramai lagi tokoh berkelayakan di luar sana, yang memiliki kemahiran industri dan rekod urustadbir korporat yang cemerlang, dan mampu membawa FGV dan apa jua GLC ke peringkat yang lebih gemilang. Ini sangat penting bagi memulihkan semangat pasukan kerja di kalangan pegawai dan kakitangan FGV untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

2. M: Mandat Pelaburan Baru – Merujuk kepada Laporan Tahunan 2016, FGV telah menggariskan 5 tindakan strategik bagi mencapai 6 sasaran yang terkandung di dalam Plan Strategik 2020 (SP2020). Ia merupakan satu perancangan yang sangat komprehensif, dan perlu diberikan nafas baru bagi memastikan aspek pelaksanaannya tidak tergendala.

Ini wajar disokong oleh tahap profesionalisma dan disiplin yang tinggi dalam merangka Strategi Pelaburan, Peningkatan Nilai, Pengurusan Risiko, dan Pematuhan Peraturan, di samping Ikrar Integriti Korporat dan pelbagai Inisiatif Tadbir Urus FGV yang telah digariskan di dalam Laporan Tahunan 2012 - 2016.

Justeru, penulis berpendapat apa yang sangat diperlukan oleh FGV pada hari ini adalah Pengerusi dan Mandat (PM) yang baru, bagi memastikan FELDA dapat mengembalikan tujuan asalnya yang digariskan oleh Tun Abdul Razak.

Inilah legasi besar PM Malaysia kedua, dan wajar dikenang seluruh generasi FELDA sebagaimana yang sering dilaungkan bersama, “Bakti diberi penuh setia, dengan rahmat yang Maha Esa, erat sepakat bina FELDA, seiring haluan ke puncak jaya.”

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 14 Jun 2017