Di Manakah Bezanya PAS Abdul Hadi Dengan PAS Fadzil Noor Atau PAS Nik Aziz? - 1Media.My

Header Ads

Di Manakah Bezanya PAS Abdul Hadi Dengan PAS Fadzil Noor Atau PAS Nik Aziz?

Bila ketiga-tiga Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz meletakkan agenda perlaksanaan syariat sebagai agenda terpenting PAS, hingga sanggup berpisah dengan DAP kerananya, maka di manakah bezanya antara PAS Abdul Hadi dan PAS Fadzil Noor atau PAS Nik Aziz? - Dr Kamarul Zaman Yusoff

Selain nama bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, nama bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, juga sering disalahguna oleh golongan tertentu untuk menunjukkan kononnya PAS di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah golongan “purist” yang kononnya bersifat jumud dengan hanya menekankan kepada agenda perlaksanaan syariat berbanding golongan "mainstreamer".

Walhal hakikat sebenarnya adalah jauh berbeza.

Ini adalah kerana, di bawah pimpinan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden-lah, dan di bawah pimpinan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai sebagai Mursyidul Am-lah, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 telah memutuskan bahawa “PAS tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan dan undur ke belakang semata-mata untuk melayan kehendak Parti DAP” dan bahawa “prinsip (menegakkan Negara Islam) ini akan dipertahankan walaupun terpaksa kehilangan Parti DAP di dalam pakatan Barisan Alternatif”.

Akibat ketegasan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempertahankan prinsip perjuangan PAS inilah maka akhirnya Jawatankuasa Ekseutif Pusat DAP pun memutuskan penarikan diri DAP dari Barisan Alternatif mulai 22 September 2001.

Pemimpin seperti Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, mahupun mana-mana pemimpin lain yang sering menyalahgunakan nama Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sama ada terlalu benak untuk memahami perkara ini.atau sengaja mahu menyelewengkan fakta demi kepentingan sendiri.

Kalau mahu dikira mengenai pesanan dan amanat bekas pimpinan PAS yang telah pergi mengadap Ilahi, maka pesanan dan amanat Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor di dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei 2002-lah yang paling awla diberikan perhatian kerana ini adalah pesanan dan amanat rasmi terakhir Almarhum sebelum pergi mengadap Ilahi pada 23 Jun 2002.

Pesanan dan amanat rasmi terakhir Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor kepada PAS ini adalah berbunyi: “Agenda perlaksanaan syariat adalah agenda terpaling mulia dan maha besar yang perlu disegerakan oleh seluruh pimpinan negara ini. Ia adalah ibadah dan jihad yang paling awla (utama) yang perlu didepani oleh seluruh umat ini.”

Jadi, bila ketiga-tiga Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz meletakkan agenda perlaksanaan syariat sebagai agenda terpenting PAS, hingga sanggup berpisah dengan DAP kerananya, maka di manakah bezanya antara PAS Abdul Hadi dan PAS Fadzil Noor atau PAS Nik Aziz?