PAS Selangor ikut keputusan Pusat - 1Media.My

Header Ads

PAS Selangor ikut keputusan Pusat

PAS Selangor masih lagi berada dalam kerajaan yang dibentuk hasil daripada mandat yang telah diberikan daripada rakyat kepada PR sejak tahun 2013. Alhamdulillah, apa yang berlaku di Selangor ini kita masih lagi mengekalkan prinsip yang sedemikian demi untuk kebaikan dan kemashlahatan rakyat. -Hasbullah Ridzwan - ADUN Gombak Setia

PAS Selangor sentiasa meraikan apa jua cadangan atau usul yang dibawa oleh rakan seperjuangan PAS termasuk usul menolak hubungan tahaluf siyasi dengan PKR yang dicadangkan oleh PAS Kawasan Permatang Pauh.

Berkata demikian, Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan menjelaskan, secara umumnya dalam Negeri Selangor, PAS Selangor masih lagi memegang keputusan di peringkat pusat iaitu bertahaluf dengan PKR dalam suasana kerajaan yang dibentuk sewaktu penubuhan Pakatan Rakyat (PR).

"PAS Selangor masih lagi berada dalam kerajaan yang dibentuk hasil daripada mandat yang telah diberikan daripada rakyat kepada PR sejak tahun 2013. Alhamdulillah, apa yang berlaku di Selangor ini kita masih lagi mengekalkan prinsip yang sedemikian demi untuk kebaikan dan kemashlahatan rakyat.

"Apa yang diusulkan oleh PAS Permatang Pauh itu adalah merupakan pandangan kawasan tersebut yang akan diangkat. Jadi kita meraikan apa jua pandangan dan usul yang dibentangkan dan itu akan diletakkan keputusannya dalam muktamar akan datang sekiranya usul itu diterima oleh PAS Pusat," katanya.

Beliau yang ditemui Harakah selepas Jamuan Makan Malam Sempena Hari Wanita 2017 bertempat di D'Saji Orchard Villa, Gombak, 21 Mac lalu menyifatkan hubungan antara Parti Islam itu dengan PKR di Selangor adalah cukup matang setelah diberi kepercayaan penuh oleh rakyat Selangor.

"Saya kira hubungan politik di Selangor ini cukup matang. Semua pihak menerima mandat yang diberikan oleh rakyat pada tahun 2013, dan kita lihat kepada komenter pemimpin-pemimpin parti di Selangor sama ada daripada PAS ataupun PKR. Kita melihat dan menunggu keadaan yang seterusnya.

"Itu kita kira tidak mengganggu proses dan juga suasana yang ada dalam Negeri Selangor ketika di saat ini," katanya – HARAKAHDAILY 24/3/2017