NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Salahkah kami mahu perkasa Mahkamah Syariah, soal peserta himpunan


.

Salahkah kami mahu perkasa Mahkamah Syariah, soal peserta himpunan

 | February 18, 2017
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sudah lama tidak dipinda, malah hukuman yang diperuntukkan ketika ini tidak menepati tuntutan Islam.
sokong-ruu
KUALA LUMPUR: Kehadiran penyokong RUU 355 ke Padang Merbok hari ini tiada niat lain, kecuali mahu melihat Mahkamah Syariah diperkasakan.
Itulah sentimen yang ditunjukkan peserta ditemui FMT hari ini.
Mereka berpendapat, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sudah lama tidak dipinda, malah hukuman yang diperuntukkan ketika ini tidak menepati tuntutan Islam.
Hujah sama turut disuarakan pemimpin PAS dan penyokong RUU 355 menerusi pelbagai kenyataan yang disiarkan media sebelum ini.
Kali terakhir hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda ialah pada 1984, iaitu hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali berbanding hukuman penjara 6 bulan, denda RM1,000 atau kedua-duanya yang diluluskan pada 1965.
Pindaan yang dicadangkan kali ini ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” oleh Mahkamah Syariah.
“Akta ini tidak melibatkan orang bukan Islam. Kita bukan ingin kacau kehidupan sesiapa, hanya ingin tingkatkan kuasa Mahkamah Syariah,” kata peserta berusia 40 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fairuz dan menetap di Shah Alam.
Beliau mengakui tidak arif mengenai perkara itu, namun mengikuti isu RUU 355 yang hangat dilaporkan media massa.
“Jadi, saya mula faham dan sokong. Saya yakin mereka yang datang hari ini bukan hanya penyokong, tetapi mereka yang ingin mendengar (penjelasan),” katanya.
Pengiran Nurdian Shah daripada Persatuan Seni Silat Gayung Makrifat (PSSGM) berkata, hukuman sedia ada dalam akta itu tidak mengikut tuntutan agama.
“Isu ini mudah sahaja – apa yang ada ditambah baik menurut al-Quran. Misalnya, hukuman 100 sebatan. Ia bukan kekejaman, tetapi ketegasan,” katanya yang datang bersama 10 ahli PSSGM.
Antara kritikan utama terhadap usaha PAS ini adalah ia akan melebarkan jurang hukuman untuk umat Islam dan bukan Islam.
Sesetengah pihak seperti Amanah menuntut kelemahan institusi Mahkamah Syariah diperbaiki terlebih dahulu.
Menjawab kritikan itu, Azlan Ngah, 50 tahun, mangulangi hujah penyokong RUU 355 sebelum ini, iaitu kelemahan utama Mahkamah Syariah ialah hukuman terlalu ringan.
“Ramai yang boleh bayar denda RM3,000 dengan mudah. Undang-undang lain (sivil) juga ada kelemahan, tetapi tidak dipersoalkan. Yang penting kita buat dulu ‘kerja Tuhan’ ini,” katanya yang datang dari Terengganu.
“Ini hukum Allah dan tidak mengganggu orang bukan Islam,” kata Fazira Abd Razak, guru dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Baginya, jurang hukuman untuk umat Islam dan bukan Islam bukan masalah, memandangkan kedua-dua pihak mempunyai pegangan berbeza.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.
PAS sebelum ini menyasarkan kira-kira 300,000 orang akan menyertai himpunan hari ini bagi menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.
.
.
© all rights reserved
made with by templateszoo