NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ayuh ke Perhimpunan 355!


Sebagai seorang peguam sivil dan syarie yang telah beramal hampir 25 tahun, saya telah melihat evolusi kedua-dua mahkamah sivil dan syariah. Namun evolusi di mahkamah syariah seolah-olah disekat kerana bidang kuasa jenayah yang terlalu kecil tidak membantu pembangunan undang-undang itu sendiri.

SUATU perhimpunan bagi menyokong pindaan kepada Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (atau lebih dikenali sebagai Akta 355) akan diadakan esok (18 Februari) di Padang Merbok Kuala Lumpur. Himpunan yang dinamakan H355 ini bertujuan menzahirkan kehendak rakyat yang mahukan akta tersebut dipinda bagi membolehkan Dewan-Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia diberikan kuasa untuk mewujudkan kesalahan jenayah syariah yang hukumannya melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali rotan.

Akta 355 ini bukanlah baharu, ia telah diluluskan pada tahun 1965 kemudian dipinda pada 1984 dan dipinda sekali lagi bagi diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada 1988. Musykilnya kenapa dahulu ia begitu mudah dipinda dan pendekatan yang sama tidak boleh diambil pada tahun ini.

Ada kalangan yang mempertikaikan keperluan mengadakan himpunan kerana sebelum ini tidak perlu diadakan himpunan seperti ini.

Sebenarnya sebelum ini juga terdapat pelbagai himpunan yang mendesak kerajaan melakukan sesuatu, sebelum itu juga tidak pernah diadakan himpunan sebegitu. Mungkin ketika ini trend mendesak kerajaan adalah melalui himpunan sebegini.

Bagi saya himpunan ini penting untuk memberi isyarat kepada ahli politik, khususnya ahli parlimen mengenai kehendak rakyat yang mereka wakili.

Berbalik kepada Akta 355 ini, sebenarnya pada 17 November 2016 di Pusat Islam Kuala Lumpur, empat buah pertubuhan iaitu Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, dan Persatuan Pegawai Agama Malaysia telah menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menyokong pindaan Akta 355 dan meminta Kerajaan Persekutuan memastikan pindaan ini dapat direalisasikan.

Ahli keempat-empat pertubuhan inilah yang setiap hari melaksanakan undang-undang di mahkamah syariah dan hadir di mahkamah syariah sama ada sebagai penguat kuasa, pendakwa, peguam syarie ataupun hakim syarie. Mereka menyokong penuh pindaan Akta 355.

Musykilnya ada yang tak pernah pun menjejak kaki di mahkamah syariah menentang pindaan akta ini dengan pelbagai alasan dan retorik. Ahli keempat-empat pertubuhan inilah yang merupakan pelaksana kepada Akta 355 dan undang-undang Islam yang lain dan merupakan orang yang paling mengetahui peri pentingnya pindaan kepada akta tersebut.

Isu lantang yang dibangkitkan menentang pindaan akta ini adalah ia tidak berperlembagaan. Namun begitu sangat sedikit perbahasan yang dikemukakan dalam aspek manakah ia tidak berperlembagaan. Amat mudah untuk mendakwa tetapi tidak mengemukakan hujah.

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Parlimen (Senarai I) dan kuasa Dewan Undangan Negeri (Senarai II) serta kuasa bersama (Senarai III) membuat undang-undang mengenai perkara yang dinyatakan dalam senarai berkenaan.

Perkara jenayah terletak di bawah Senarai I yang menjelaskan bahawa kuasa membuat undang-undang adalah dimiliki oleh Persekutuan (Parlimen). Manakala kuasa mewujudkan kesalahan dan hukuman melanggar perintah agama Islam dalam kalangan orang yang menganut agama Islam adalah kuasa negeri (Dewan Undangan Negeri).

Namun, kuasa mengadakan hukuman bagi orang yang melanggar perintah agama Islam ini boleh dibataskan oleh undang-undang Persekutuan.

Pada ketika ini terdapat satu undang-undang persekutuan iaitu Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (Disemak pada 1988) (Akta 355) memperuntukkan bahawa takat hukuman yang boleh dibuat oleh Dewan-Dewan Undangan Negeri hanyalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Rang Undang-Undang Persendirian dibentang Ahli Parlimen Marang adalah bagi meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 di atas yang telah pun sebelum ini disemak pada tahun 1984 dan 1988. Oleh itu di manakah isu ‘ketidakperlembagaan’ RUU Persendirian yang dibentangkan itu? Kenapa pula pada tahun 1965, 1984 dan 1988 sewaktu pindaan tersebut dibuat isu ‘keperlembagaan’ ini tidak timbul?

Daripada teks RUU Persendirian itu pula adalah amat jelas pindaan yang ingin dibuat hanyalah bagi kesalahan yang meliputi penganut agama Islam dan terhad kepada kesalahan melanggar perintah agama Islam (Senarai II).

Sebagai seorang peguam sivil dan syarie yang telah beramal hampir 25 tahun, saya telah melihat evolusi kedua-dua mahkamah sivil dan syariah. Namun evolusi di mahkamah syariah seolah-olah disekat kerana bidang kuasa jenayah yang terlalu kecil tidak membantu pembangunan undang-undang itu sendiri.

Saya merasakan amat penting bagi usaha memartabat dan menaik taraf mahkamah syariah dilakukan segera. Ia sudah lama tertangguh. H355 bagi menzahirkan kehendak umat Islam arus perdana, ia memberi isyarat kepada ahli parlimen apakah yang diinginkan oleh umat Islam arus perdana.

Ayuh marilah beramai-ramai menzahirkan sokongan kita bagi meningkatkan martabat mahkamah syariah di Malaysia.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/ayuh-ke-perhimpunan-355-1.629786

© all rights reserved
made with by templateszoo