NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

U--TURN: Kit Siang Buat PAN Kesipuan

Maestro DAP, Lim Kit Siang yang selama ini antara paling ego dan keras akhirnya menghulur salam perdamaian kepada Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sedangkan, selama ini batang tubuh ulama itulah yang menjadi sasaran mereka terutama menggunakan khadam setia iaitu PAN. Bahkan, DAP pernah membuat keputusan sangat ‘luar biasa’ apabila tetap mahu menjalin hubungan dengan PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

PELABURAN besar oleh DAP akhirnya terburai biarpun parti itu berjaya menyusup taja proksi mereka dari kalangan pemimpin tertinggi PAS hingga mengandung dan melahirkan golongan seperti PASMA, G18, GHB dan akhirnya PAN. Malah, angkuh menendang, menyah usir dan meminggirkan PAS dengan membentuk gabungan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH). Juga membentuk kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semata-mata untuk mengecilkan lagi kedudukan PAS.

Namun, PAS sedikitpun tidak gusar, sebaliknya istiqamah melangkah gagah biarpun sendirian membina kekuatan sendiri disebalik ganasnya persepsi dan serangan dihadapkan terhadapnya. Teliti semula semua kronologi kenyataan terutamanya dari DAP dan PAN, serta adakalanya mengadu domba kepada PKR dan BERSATU, seumpama sekumpulan samseng membelasah lunyai seorang mangsa. 

Malah, melalui pelbagai kedudukan yang mereka ada atau kuasai seperti Kerajaan Pulau Pinang dan institusi-institusi dimiliki, termasuk menekan Kerajaan Selangor, mereka telah menstatus dan menjuzukkan PAS sebagai terkeluar dari persada politik negara. Membaca ungkapan mereka, seolah-olahnya PAS sudah terkubur mati, tetapi ketika sama tetap mengajukan pelbagai tawaran dan pujukan mengada-ngada. Apabila gagal mempengaruhi PAS, maka dilontarnya kritikan maki hamun sumpah seranah bagai mencampak sampah. 

Malangnya, segala kesombongan dan angkatan besar yang dibentuk rupanya berjiwa kecil. Maestro DAP, Lim Kit Siang yang selama ini antara paling ego dan keras akhirnya menghulur salam perdamaian kepada Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sedangkan, selama ini batang tubuh ulama itulah yang menjadi sasaran mereka terutama menggunakan khadam setia iaitu PAN. Bahkan, DAP pernah membuat keputusan sangat ‘luar biasa’ apabila tetap mahu menjalin hubungan dengan PAS, tetapi tidak sama sekali dengan Presiden PAS.

Mereka sangka cukup kuat membina pengaruh di dalam pimpinan PAS pasca Muktamar Tahunan di Kuala Selangor tahun 2015 dahulu hingga tergamak memisahkan anak dengan bapa. Kini dengan tindakan Kit Siang itu pasti membuatkan PAN tidak tahu hendak menyorokkan kesipuan apabila Tuan Khadam sendiri akur melutut?

Kleptokrasi, regim, tirani, diktator dan segala istilah kejahatan yang dihadapkan DAP kepada pemerintah mana sekalipun, hakikatnya ia helah dan bermotif menyelamatkan kedudukan serta perpecahan sedang melanda DAP dan PH itu sendiri. Ini terbukti dengan kepuraan yang banyak berlaku dalam hubungan mereka bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di mana sangat dimusuhi sebelum ini. Setelah menyedari gagal untuk mendapat manfaat dari Mahathir, tiada lagi pilihan untuk DAP. Mereka terpaksa mengakui situasi politik pada ketika ini meletakkan PAS sebagai pokok yang teguh akarnya mencengkam bumi serta menjulang tumbuh meninggi ke langit. PAS menaungi dan menjadi pautan yang sangat diperlukan oleh semua.

Namun, menunggu jawapan kepada harapannya itu pasti membuatkan Kit Siang menggigil. Hulurlah salam dan rangkulan pelukan mesra dan melutut insaf sekalipun, ia sebenarnya mengulangi tindakan dibuat Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak tahun terdahulu. Apakah jawapan pendirian Tuan Guru Abdul Hadi? Mestilah ISLAM menjadi syarat penyatuan atau hubungan serta mesti ISLAM mengetuai.
© all rights reserved
made with by templateszoo