Header Ads

Muslim Wajib Sokong RUU 355 - Ustaz Kazim Elias

Apabila kita beragama Islam, sama ada sebagai ahli Parlimen atau tidak, sesuatu perkara yang menaikkan martabat Islam wajib diberi sokongan penuh.

SUNGAI MANIK, 15 Okt — Tidak kira jika seseorang itu ahli Parlimen atau rakyat biasa, jika mereka beragama Islam wajib menyokong gesaan mufti Perak, kata pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias.

Tan Sri Harussani Zakaria meminta semua ahli Parlimen beragama Islam memberi sokongan penuh kepada pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355.

“Apabila kita beragama Islam, sama ada sebagai ahli Parlimen atau tidak, sesuatu perkara yang menaikkan martabat Islam wajib diberi sokongan penuh.

“Kerana itu, sokong gesaan mufti Perak supaya ahli Parlimen memberi sokongan penuh tanpa perlu ada unsur politik dalam perkara ini,” kata Kazim seperti dilaporkan Sinar Harian.

RUU itu yang bakal mengukuhkan kuasa mahkamah syariah dijangka akan dibahaskan minggu depan selepas dimasukkan dalam Aturan Mesyuarat Parlimen Isnin ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa sidang Parlimen Mei lalu sudah membentangkan RUU itu dan ia dijangka akan didebatkan kali ini selepas berada dalam kedudukan keempat Aturan Mesyuarat.

Kazim berkata umat Islam perlu menyatakan sokongan terhadap pindaan RUU itu agar mereka menjadi lebih kuat.

“Kita melakukan perkara yang baik iaitu memartabatkan kuasa mahkamah syariah. Oleh itu, semua umat Islam di negara ini perlu bersatu untuk menjadi lebih kuat.

“Pangkahlah yang mana kita inginkan tetapi bila masuk hukum agama, kita perlu bersatu dan bukan berpecah belah,” beliau dilaporkan berkata.

- See more at: http://m.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/asal-nama-orang-islam-wajib-sokong-ruu-355-kata-ustaz-kazim#sthash.0OR4GX7Z.dpuf