NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MARA Jual Satu Hartanahnya Di Australia

Isu pembelian hartanah oleh Mara timbul apabila akhbar Australia, The Age, melaporkan “sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya” membayar lebihan A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi membeli sebuah pangsapuri di Melbourne pada 2013.
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menjual satu daripada empat hartanahnya di Australia bagi menjelaskan hutang pinjaman yang digunakan untuk membeli aset berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, penjualan itu dilakukan secara tender terbuka dan diuruskan oleh firma antarabangsa.

“Dengan penjualan itu kita gunakan untuk bayar balik pinjaman kepada dua bank di Australia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Korporat: Gagasan Menjunjung Amanah Rakyat di sini, Isnin.

Bagaimanapun Annuar tidak menyatakan harga penjualan hartanah tersebut.

Isu pembelian hartanah oleh Mara timbul apabila akhbar Australia, The Age, melaporkan “sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya” membayar lebihan A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi membeli sebuah pangsapuri di Melbourne pada 2013.

Mereka termasuk seorang pegawai ‘atasan’ Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik, yang dikatakan menggunakan dana kerajaan bernilai jutaan ringgit untuk pembelian blok pangsapuri Dudley International House, dengan menawarkan hampir A$5 juta lebih tinggi daripada harga asalnya A$17.8 juta.

Akhbar itu turut mendakwa pemaju bangunan itu di Australia mengeluarkan invois palsu yang membutirkan kononnya perkhidmatan ‘jururunding dan nasihat’ daripada firma Malaysia.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan itu dikenali ‘Dudley International House’, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University. – Bernama



© all rights reserved
made with by templateszoo