NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan Sokongan IPeguam Terhadap Pindaan Akta 355


iPeguam amat mengalu-alukan inisiatif daripada Presiden PAS, Al Fadhil Tuan Guru Haji Hadi Awang dalam membawa Private Member Bill baru-baru ini sebagai satu langkah awal yang proaktif dalam memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Tindakan ini yang bukan sahaja selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, malah merupakan satu perkembangan yang sangat positif kepada sistem perundangan Syariah dan bidang kuasa jenayahnya yang tidak mengalami sebarang peningkatan sejak hampir 30 tahun dahulu.

iPeguam juga telah meneliti bantahan-bantahan dan komen-komen negatif, khususnya dari kalangan masyarakat bukan-Islam dan segelintir umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mempunyai alasan yang kukuh dalam bantahan ini memandangkan cadangan pindaan Akta 355 ini tidak ada kena mengena dengan pesalah bukan-Islam, tidak mencanggahi peruntukan-peruntukan Perlembagaan dan bukan satu percubaan untuk “merampas” (usurp) bidangkuasa perundangan jenayah di Malaysia, yang umum mengetahui terletak di bawah Kanun Keseksaan dan beberapa undang-undang lain.

Barangkali bantahan dan protes ini lebih berpunca kepada phobia terhadap sistem keadilan Islam daripada kejahilan sejati mereka terhadap aspek-aspek teknikal di sebalik cadangan untuk meminda Akta 355 ini. Mungkin juga pindaan ini akan mendatangkan kerugian ekonomi kepada mereka atau menggagalkan agenda untuk merosakkan umat Islam secara terancang.

Pindaan kepada Akta 355 ini akan menghampiri semangat daripada tujuan-tujuan besar Syariat Islam bagi umat Islam iaitu Maqasid Syarak yang meliputi pemeliharaan dan perlindungan kepada Din, akal, harta, keturunan, kehormatan dan maruah umat Islam. Pemeliharaan dan perlindungan kepada Maqasid Syarak ini tidak dapat disempurnakan melainkan adanya peruntukan-peruntukan hukuman kepada sebarang percubaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu dan menggugat asas-asas ini.

iPeguam juga ingin menegaskan bahawa sistem perundangan Syariah lebih bersifat pencegahan daripada bersifat hukuman. Umat Islam yang sedar akan batasan-batasan Syariah di dalam pergaulan dan interaksi mereka dengan anggota lain di dalam masyarakat akan dididik ke arah kesedaran terhadap kesan dan akibat dari perlanggaran terhadap batasan-batasan Syariah ini. Pindaan Akta 355 adalah salah satu langkah yang munasabah ke arah ini.

Adalah diingatkan kembali bahawa kedatangan penjajah dan kolonialis British ke Tanah Melayu satu masa dahulu telah berperanan untuk menyempitkan bidangkuasa Syariah kepada urusan-urusan peribadi, hal ehwal adat istiadat dan perkara nikah kahwin semata-mata. 

Dalam ertikata lain, kedatangan British telah menghapuskan perlaksanaan Syariah untuk digantikan dengan sistem perundangan British yang telah dipaksakan ke atas umat Islam pada ketika itu secara licik dan penuh tipu muslihat.

Pindaan kepada Akta 355 adalah satu usaha murni untuk mengembalikan hak mutlak umat Islam untuk hidup dan ditadbirkan di bawah sistem Syariah Islam yang adil dan sempurna. 

Pindaan ini juga secara langsung mempertegaskan hak semulajadi umat Islam. Ia tidak menyentuh kepentingan masyarakat bukan-Islam di negara ini.

Justeru itu iPeguam sekali lagi menegaskan bahawa cadangan pindaan Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 adalah tepat pada masanya dan perlu disokong sepenuhnya oleh umat Islam di negara ini.

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi 
Ikatan Peguam-Peguam Muslim malaysia
(iPeguam)
© all rights reserved
made with by templateszoo