NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan Media ASWAJA Berkenaan Kenyataan Timbalan Presiden Parti Gerakan

Pandangan Timbalan Presiden Gerakan  mengenai SABK yang dikatakan mengancam perpaduan di negara ini adalah terlalu naif dan menzahirkan kejahilan beliau dalam isu-isu Ekstremis dan keganasan - Dr. Zamihan Mat Zin Al-Ghari, Presiden ASWAJA

1)ASWAJA memandang serius kenyataan Timbalan Presiden Parti Gerakan,  Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai. i)mengenai SABK yang dikatakan mengancam perpaduan di negara ini ii)SABK Berkecenderungan melahirkan Ekstremis agama Islam. iii)Analisis Parti Gerakan bahawa terdapat kecenderungan pelajar SABK berkecenderungan menjadi Ekstremis agama. iv)Visi asal Malaysia sebagai sebuah negara sekular. 

2)ASWAJA berpandangan:

i)SABK tidak mengancam perpaduan negara kerana ia dibenarkan dalam Perlembagaan Malaysia berasaskan Perkara 3. Malah kurikulum SABK adalah berasaskan kurikulum kebangsaan dan ditambah dengan kurikulum pengajian Islam. Pelajar SABK lebih menguasai subjek agama Islam dengan lebih baik, maka lebih berpotensi menjadi seorang Islam yang lebih baik serta warga Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian. Dalam masa yang sama, majoriti pelajar Islam memasuki Sekolah Kebangsaan, bukannya SABK. 

ii)Tidak ada kajian dan penemuan oleh Bahagian Anti Keganasan PDRM dan kajian keganasan di Malaysia bahawa SABK berkecenderungan melahirkan Ekstremis agama. Maka pandangan Timbalan Presiden Gerakan adalah terlalu naif dan menzahirkan kejahilan beliau dalam isu-isu Ekstremis dan keganasan. Untuk pengetahuan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ideologi Ekstremis Islam adalah Salafi Jihadi yang tunggak utamanya berasal dari ideologi Salafi Wahhabi. Malaysia mengamalkan Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bukannya Salafi Wahhabi. Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai disarankan mengkaji tentang perbezaan ASWJ dengan Salafi Wahhabi dan punca terorisme di dunia yang berasal dari ideologi Salafi Wahhabi.  Dalam masa yang sama, ASWAJA menggesa semua institusi dan agensi agama Islam berganding bahu dan membanteras dan mengambil tindakan ke atas sebarang usaha penyebaran dakyah, bahan penerbitan & penceramah, dari dalam dan luar negara yang berpegang kepada Salafi Wahhabi yang merupakan akar dan punca kepada Ekstremis Islam di Malaysia dan di dunia. 

iii)"Analisis Parti Gerakan bahawa terdapat kecenderungan pelajar SABK berkecenderungan menjadi Ekstremis agama". ASWAJA meminta Parti Gerakan menunjukkan kajian dan analisis yang dimaksudkan, bersama metodologi, kaedah analisis dan Dapatan yang jelas dan tuntas atas perkara ini.  Kegagalan Parti Gerakan menunjukkan analisis mereka menunjukkan ketidakpertanggungjawaban mereka dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan. 

iv)ASWAJA juga ingin mengingatkan Parti Gerakan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memaparkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia. 

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

v)Banyak pandangan ahli akademik dan pakar pendidikan, termasuk Prof. Dr. Khoo Kay Kim sendiri bahawa pembentukan sekolah vernakular (SJKC & SJKT) di Malaysia merupakan punca perpecahan kaum dan punca utama perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia tidak dapat dibentuk. Parti Gerakan harus berlapang dada dalam hal ini dan mengakui bahawa inilah punca utama kegagalan rakyat Malaysia bersatu-padu. 

vi)Isu Peperiksaan UCE yang diperjuangkan oleh beberapa parti politik (dan dijalankan di SJKC) untuk diterima oleh pihak kerajaan menunjukkan parti2 politik ini berkiblatkan negara luar kerana kurikulum UCE bukanlah berasaskan kurikulum kebangsaan sepertimana kurikulum SABK. Adalah malang setelah Malaysia merdeka menghampiri 60 tahun, masih terdapat kaum tertentu yang merujuk kurikulum pendidikan mereka kepada negara luar. ASWAJA menyeru pihak kerajaan untuk tidak menerima sama sekali kelulusan UEC dalam mana-mana syarat perjawatan perkhidmatan awam. 

vii)Setelah Malaysia merdeka menghampiri 60 tahun, kewujudan SJKC dan SJKT perlu dilihat semula kerana ia mengundang perpecahan kaum apabila kanak-kanak diasingkan dari bergaul dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah memandangkan majoriti pelajar kaum Cina dan India mengikuti persekolahan di SJKC/SJKT, berbeza dengan pelajar Melayu dan kaum lain yang majoriti mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan. 

viii)Kewujudan SJKC juga dilihat melahirkan ekstremis-Ekstremis dan cauvinus dari kaum Cina yang sukar berintegrasi dengan kaum Melayu yang merupakan kaum terbesar di Malaysia. 

ix)Parti Gerakan seharusnya melihat agenda yang lebih penting seperti tahap penguasaan Bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan kaum Cina, menggalakkan kaum Cina memasuki Sekolah Kebangsaan serta bagaimana mengeratkan hubungan sesama kaum berbanding menyibukkan diri dengan isu agama Islam yang mereka masih jahil mengenainya kerana Islam adalah agama yang tidak berasaskan perkauman. 

Akhir kata, ASWAJA menjemput  Parti Gerakan untuk berdiskusi dan ASWAJA bersedia untuk memberi pencerahan berkaitan kedudukan Agama Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Dr. Zamihan Mat Zin Al-Ghari
Presiden ASWAJA
Jumaat 13 Januari 2017                        
© all rights reserved
made with by templateszoo