NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M, Muhyiddin jadi orang tengah satu kegagalan



“Apa yang PPBM buat adalah ideologi politik barat, di Malaysia politiknya adalah politik muslim Malaysia, ianya salah kerana orang Melayu masih tidak boleh terima ada parti Melayu yang berbaik dengan DAP,” 

Oleh Mohd Hilmi Mohd Ali
13 DIS : Tindakan Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang cuba menjadi ‘jambatan’ untuk menyatukan PAS dan DAP adalah satu kegagalan buat parti berkenaan kerana perkara itu tidak diterima oleh rakyat terutamanya Melayu Islam.

Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Mohd Noor Yazid berkata tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sebaliknya jika dilakukan di negara barat, mungkin akan menguntungkan parti pembangkang, namun tidak di Malaysia.

Ini kerana politik di Malaysia masih perlu meletakkan Melayu-Islam sebagai satu dominan jika mahu mendapat sokongan majoriti.

“Itu satu kegagalan kepada PPBM kerana platform yang dibuat oleh Dr Mahathir tidak begitu tepat kerana majoriti rakyat akan tetap menyokong parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam.

“Boleh dikatakan majoriti Melayu ada yang tak suka UMNO, namun mereka tiada pilihan selain sokong UMNO, kerana meihat parti Melayu seperti PPBM, PKR, PAN semuanya menyokong DAP, ini beri kelebihan kepada UMNO.

“Apa yang PPBM buat adalah ideologi politik barat, di Malaysia politiknya adalah politik muslim Malaysia, ianya salah kerana orang Melayu masih tidak boleh terima ada parti Melayu yang berbaik dengan DAP,” kata Prof Dr Mohd Noor kepada BNBBC.my portal pada Selasa.

Menurut Prof Dr Mohd Noor Yazid, tindakan PAS untuk tidak bersama-sama dengan DAP  dan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pula adalah tindakan bijak dan tepat.

Di Selangor ketika Dr Hassan Ali memegang jawatan Pengerusi hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, beliau menentang penjualan arak dan bercakap soal hudud namun perkara itu ditentang oleh DAP dan beliau dipecat.
“DAP sering menolak prinsip yang cuba di bawa PAS seperti RUU355, istilah dan status anak bagi ibu bapa yang memeluk Islam. Dari situ PAS sudah serik dan tahu mereka tidak boleh bersama DAP kerana berbeza prinsip.

“PAS kalau keseorangan tetap akan menang di kawasan majoriti Melayu-Islam kerana akar umbi dia kuat dan hanya kalau PAS masuk PH, pembangkang akan bertambah kuat,

“PAS masih ada golongan yang anggap berpolitik dengan PAS sebagai jihad agama,” katanya.

Berbalik kepada PPBM yang cuba menjadi orang tengah, Prof. Dr Mohd Noor Yazid berkata pakatan parti itu dengan DAP patut dilakukan dengan lebih sulit.

“Itu kesilapan, sepatutnya dia bergabung jangan terlalu rapat dengan DAP.

“Misal kata pada PRU, pembangkang menang 100 kerusi, dan mereka perlukan kerusi untuk majoriti mudah, ketika itu baru mereka perlu minta sokongan kepada DAP dan perlu diingatkan Melayu mesti jadi parti dominan dalam kerajaan,” katanya.

Sumber: https://www.bnbbc.my/tun-m-muhyiddin-jadi-orang-tengah-satu-kegagalan/
© all rights reserved
made with by templateszoo