NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TGHH hadir Muktamar Tahunan di Tehran Mewakili PAS

PAS menegaskan bahawa apa yang berlaku di Syria adalah mangsa peperangan proksi yang bertujuan merobekkan kesatuan ummah dan penguasaan oleh kuasa asing dan rejim zionis - Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat


Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Penglibatan Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan di Tehran Mewakili PAS

1. Penglibatan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah kali ke 30 di Teheran yang diadakan oleh Lembaga Taqrib Mazhab Antarabangsa adalah mewakili Parti Islam Semalaysia sebagai Presiden parti. Saya sendiri pada tahun lepas berpeluang mengiringi beliau mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat.

2. Sudah pasti dalam penglibatan apa sahaja forum antarabangsa, PAS mempunyai pendirian politik tersendiri terhadap sebarang krisis yang berlaku di Timur Tengah termasuk melibatkan Syria, Yaman, Irak dan Palestin. Pendirian tersebut sama sekali tidak akur atau tunduk kepada sebarang kepentingan mana-mana pihak yang melakukan kezaliman dan penindasan. Malah PAS sentiasa bersuara lantang bersemuka dengan golongan yang zalim dan menindas.

3. PAS bersatu hati dengan seluruh umat Islam menentang sebarang bentuk kezaliman, pencerobohan hak asasi manusia dan pembunuhan yang menumpahkan darah golongan yang tidak berdosa di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam.

4. PAS menegaskan bahawa apa yang berlaku di Syria adalah mangsa peperangan proksi yang bertujuan merobekkan kesatuan ummah dan penguasaan oleh kuasa asing di kawasan bergolak.

5. Kuasa asing tersebutlah yang berdiri di belakang tabir kumpulan pengganas yang dibiayai dengan kewangan yang besar dan senjata pemusnah, seumpama ISIS yang merosakkan nama baik Islam yang sebenar. Mereka menyalakan api persengketaan antara puak agar umat Islam terus bertelingkah dan berperang sehingga menumpahkan darah dan berkrisis tanpa henti. Akhiran ini pula berlaku serangan pengganas yang mensasarkan Turki agar terbuka satu lagi lembaran darah yang baru.

6. PAS juga menekankan kepentingan kesatuan saf umat Islam dan penyelesaian krisis menerusi rundingan bagi mengelakkan darah terus mengalir dan nyawa terus melayang, juga menolak sebarang penyelesaian tajaan asing.

7. PAS menegaskan juga bahawa peperangan dan krisis di Timur Tengah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kepentingan kuasa asing dan rejim zionis. Sejak beberapa dekad sebelum kebangkitan pejuang Syria pada 2011, Syria menjadi tempat berlindung para pejuang Palestin sebagaimana disebut oleh wakil HAMAS di Iran, Khalid al-Qadumi. HAMAS mempunyai Pejabat Politiknya ketika itu di Damsyik. Tetapi setelah berlakunya kebangkitan di Syria, pejabat tersebut terpaksa dipindahkan ke Qatar. Siapakah yang bergembira ketika itu?

8. Kehadiran Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di muktamar tersebut sebagai salah seorang pembentang adalah bertujuan menegaskan prinsip dan pendirian tersebut. Sebelumnya beliau mewakili PAS memainkan peranan bagi meredakan ketegangan pada awal krisis Yaman di zaman Presiden Abdullah Soleh, sesuatu yang mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.

Allah berfirman:

"Setiap orang bertindak (bekerja) mengikut cara dan sudutnya. Maka Rabb kamulah yang lebih mengetahui siapakah yang lebih mendapat petunjuk ke jalan (yang benar).

Surah al-Isra', ayat 84.

Bagaimana pula dengan orang yang hanya berbicara tanpa bertindak apa-apa?

9. Sebagai makluman, muktamar tersebut diadakan secara tahunan di Teheran sejak 80 an. Penglibatan Tuan Guru Hj Hadi merupakan penyertaan tahunan sejak puluhan tahun. Ia juga disertai setiap tahun oleh wakil HAMAS dan tokoh-tokoh terkenal seperti Ustaz Oghuzan Asilturk, Ketua Majlis Syura Parti Saadat di Turki, Dr Kamal Halbawi, Presiden Pengasas Rabitah Islam di Britain, Syeikh Tajuddin Hamid Abdullah al-Hilaali, bekas Mufti Australia dan Syeikh Mustafha Cherits, Mufti Agong Bosnia Hezergovina.

10. Tidak sukar untuk kita mentafsirkan sebab penglibatan wakil HAMAS dalam muktamar tersebut di saat kita meninjau kenyataan Ketua Pejabat Politik HAMAS, Khalid Masy'al; "Kami berbeza pandangan dengan Iran dalam isu yang berlaku di Syria tetapi kami sangat mementingkan usaha membina hubungan yang baik dengan semua negara".

11. Beliau juga berkata: "tidak ada keraguan lagi bahawa kami berbeza pandangan dengan kerajaan Syria mengenai cara mereka menguruskan krisis dan tindakan mereka mengambil pilihan ketenteraan". Meskipun begitu beliau secara terang menegaskan "bahawa Presiden Syria Basyyar Asad masih lagi mendokong gerakan HAMAS selepas mereka meninggalkan Damsyik".

12. Barangkali mereka yang mengecam penglibatan Tuan Guru Hj Abdul Hadi dalam muktamar terbabit tidak menyedari permainan dan fitnah media massa dan media sosial moden yang menghiasi kebatilan dengan kebenaran dan menukar kebenaran menjadi kepalsuan, yang menular dalamnya pelbagai sangkaan dan persepsi sedang "persepsi itu sedikit pun tidak boleh menggantikan kebenaran".

13. Barangkali juga mereka leka dengan penguasaan media massa gergasi antarabangsa dalam mempengaruhi pandangan awam dunia ke arah yang mereka mahu dan mengawal pandangan umum.

14. Di manakah kita berbanding ucapan tokoh terkenal Abu Qilabah:
"Apabila sampai kepadamu tentang saudaramu sesuatu yang kamu tidak suka maka carilah untuknya justifikasi sedayamu. Sekiranya kamu tidak menemui sebarang justifikasi maka sebutlah pada dirimu: barangkali saudaraku mempunyai justifikasi yang tidak ku ketahui".

Di manakah kita berbanding apa yang diriwayatkan daripada Umar radiyallahu anhu: "janganlah kamu berikan sangkaan jahat terhadap satu kalimah yang keluar daripada saudaramu sedangkan kamu mendapati ada ruang untuk diberikan sangkaan yang elok".

Sekian.

Ditulis oleh
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Rabu 21hb Disember 2016
© all rights reserved
made with by templateszoo