Header Ads

Subsidi Haji RM200j

Kos pengurusan haji meningkat saban tahun seperti mana pada tahun hadapan yang meningkat kepada RM19,550 seorang, kadar bayaran haji buat jemaah tidak berubah sejak 2009, masih kekal RM9,980 seorang.

Kuala Lumpur: Meskipun kos pengurusan haji meningkat saban tahun seperti mana pada tahun hadapan yang meningkat kepada RM19,550 seorang, kadar bayaran haji buat jemaah tidak berubah sejak 2009, masih kekal RM9,980 seorang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kos selebihnya ditanggung Tabung Haji (TH) dengan penambahan subsidi keseluruhan tahun depan berjumlah RM200 juta daripada RM160 juta tahun ini.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita memelihara serta terus menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia serta membantu umat Islam menyempurnakan rukun Islam kelima.

“Mudah-mudahan Malaysia akan terus berada dalam peliharaan, dikurniakan rahmat keamanan dan kesejahteraan oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya dalam catatan di blog najibrazak.com, semalam.

Beliau berkata, menunaikan haji adalah sebahagian daripada rukun Islam dan kerajaan amat prihatin serta sedar bahawa umat Islam di Malaysia menyimpan hasrat mengunjungi Tanah Suci sebagai tetamu Allah SWT suatu hari nanti.

Katanya, dulu umat Islam di Malaysia terpaksa menyimpan puluhan tahun lamanya, ada yang terpaksa menjual barang kemas, harta benda dan haiwan ternakan untuk mengumpul cukup simpanan bagi menziarah Makkah.

“Alhamdulillah, hari ini melalui TH, urusan jemaah haji jauh lebih mudah dan ringkas. Selain memberikan ruang buat umat Islam menyimpan wang beransur-ansur untuk melengkapkan perbelanjaan ke Tanah Suci, TH turut berperanan mengatur dan menguruskan pemergian jemaah haji ke Kota Makkah selain memastikan keselamatan, keselesaan dan kebajikan mereka terpelihara ketika menunaikan fardu haji.

“Malah, lebih daripada itu, TH turut memberikan subsidi buat jemaah haji bagi membantu memudahkan lagi urusan mereka dalam menyempurnakan ibadah haji yang mabrur,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/node/192468