PM New Zealand Umum Letak Jawatan - 1Media.My

Header Ads

PM New Zealand Umum Letak Jawatan

Perdana Menteri New Zealand, John Key, meletakkan jawatan pada Isnin dengan menyatakan sudah sampai masa berbuat demikian selepas berkhidmat selama lapan tahun

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, John Key, meletakkan jawatan pada Isnin dengan menyatakan sudah sampai masa berbuat demikian selepas berkhidmat selama lapan tahun.

Dalam pengumuman yang mengejutkan itu, beliau menyatakan bahawa keputusan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukannya.

“Ini merupakan keputusan paling sukar dan saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan seterusnya.

“Menjadi pemimpin bagi parti dan negara adalah pengalaman yang menakjubkan,” ujarnya dalam sidang media, sambal menambah dirinya tidak pernah menjangka menjadikan politik sebagai kerjaya.

Key, yang merupakan bekas pedagang mata wang Merrill Lynch, baru saja meraikan ulang tahun kelapan sebagai perdana menteri dan yang tahun ke-10 sebagai pemimpin Parti Nasional.

Parti tersebut akan bermesyuarat pada minggu hadapan untuk melantik penggantinya.
Timbalan Perdana Menteri Bill English disebut-sebut sebagai individu yang akan mengisi jawatan tertinggi pentadbiran itu.

Key berkata, keputusan pengunduran itu dibuat antara lain untuk kembali menghabiskan masa berkualiti bersama isteri dan anak-anaknya.

“Saya telah mnelihat ramai pemimpin yang dalam kedudukan ini gagal untuk mengambil langkah yang serupa. Saya amat memahaminya. Jawatan ini sangat sukar untuk ditinggalkan.

“Namun bagi saya dan Parti Nasional, ia adalah masa yang sesuai. Keanggotaan parti adalah tinggi dan parti juga mempunyai dana yang bagus,” ujarnya.

Key terlibat dalam politik dengan memasuki Parlimen pada tahun 2002 dan menjadi nakhoda Parti Nasional empat tahun kemudian. Pada 2008, beliau telah menafikan pentadbiran Parti Buruh dan mengambil alih jawatan tertinggi negara daripada Helen Clark.

Antara pencapaiannya adalah menstabilkan ekonomi selepas krisis kewangan global tanpa melakukan pemotongan perbelanjaan yang drastik.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-dunia/pm-new-zealand-letak-jawatan-mahu-tumpu-waktu-kualiti-dengan-keluarga-124718