NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Myanmar dakwa tidak wujud Rohingya

Kementerian Hal Ehwal Kebudayaan dan Agama negara itu akan menyerah ‘tesis’ yang membuktikan perkataan ‘Rohingya’ tidak pernah wujud kepada pejabat Presiden Myanmar, Htin Kyaw dan Kaunselor Negara, Aung Sang Suu Kyi.

YANGON 14 Dis. – Myanmar berkata, pihaknya akan membuktikan bahawa etnik Rohingya bukan penduduk asal negara itu melalui pengumpulan maklumat sejarah, demikian kata Kementerian Hal Ehwal Kebudayaan dan Agama negara itu.

Dalam kenyataan yang ditulis dalam bahasa Myanmar dan dimuat naik dalam Facebook kelmarin, kementerian itu memberitahu, apabila usaha pengumpulan maklumat sejarah itu selesai, ‘tesis’ berkenaan yang membuktikan perkataan ‘Rohingya’ tidak pernah wujud akan diserahkan kepada pejabat Presiden Myanmar, Htin Kyaw dan Kaunselor Negara, Aung Sang Suu Kyi.

Katanya lagi, tesis itu akan diterbitkan sebagai buku untuk bacaan orang awam selepas mendapat kebenaran Kyaw dan Suu Kyi.

Kementerian itu juga men­dakwa tidak terdapat perkataan ‘Rohingya’ dalam dokumen sejarah sejak era kolonial British atau era sebelum pemerintahan Bri­tish.

Laporan itu yang dipetik oleh portal Bangkok Post menyebut, perkataan Rohingya mula digunakan dalam satu laporan pada 20 November 1984 oleh seorang ahli Parlimen berketurunan Bengali, Abdul Gafar kepada Menteri Dalam Negara tentang cerita rekaan berhubung kejadian kapal karam.

Kenyataan kementerian itu juga menyebut Pengerusi Suruhanjaya Penasihat Negeri Arakan, Kofi Annan telah jelas menyatakan ‘tiada keganasan, pembunuhan beramai-ramai dan tiada langsung Rohingya’ ketika bercakap kepada para pemberita semasa lawatannya ke negeri itu pada 6 Disember lalu.

Namun pertubuhan Suara Demokratik Burma (DVB) memaklumkan tiada rekod yang mengesahkan Annan pernah memberi kenyataan sedemikian.

Kementerian itu terus men­dakwa, anasir-anasir dalaman dan luar negara telah menekan ‘agenda Rohingya’ dengan niat untuk merosakkan imej Myanmar di mata dunia selain mewujudkan ketidakstabilan dalam negara itu.

Penggunaan perkataan ‘Rohingya’ menjadi suatu isu bagi menjelaskan keganasan kaum di Arakan tetapi pegawai-pegawai kerajaan dan kedutaan Myanmar mendesak perkataan itu tidak digunakan dalam urusan diplomatik dan dialog rasmi. Malah, Suu Kyi yang merupakan ikon hak asasi manusia juga mengelak untuk menggunakan perkataan tersebut kerana etnik Rohinya didakwa kaum ‘Bengali’ dari Bangladesh.

http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/myanmar-dakwa-8232-tidak-wujud-rohingya-1.419991
© all rights reserved
made with by templateszoo