NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

LEBIH 14,000 PELAJAR PEMBAWA TALASEMIA

“Seramai 70,794 pelajar sudah disaring sebelum hasil saringan mendapati 14,580 disyaki pembawa talasemia. Purata kos rawatan bagi seorang pesakit talasemia ialah kira-kira RM5,000 sebulan 
Oleh Mohamed Farid Noh (farid_noh@bh.com.my)
Segamat: Lebih 14,000 pelajar Tingkatan Empat di seluruh negara dikesan membawa penyakit talasemia selepas melalui ujian saringan yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata jumlah 14,580 remaja itu direkodkan selepas ujian saringan dilaksanakan di sekolah sejak Januari lalu, inisiatif terbaharu kementeriannya bagi mencegah kelahiran bayi dengan penyakit terbabit menjelang 2038.
Katanya, serentak pengenalan saringan penyakit berkenaan di sekolah, kementerian memansuhkan prosedur itu ke atas ibu hamil yang dilaksanakan sebelum ini kerana mendapati ia tidak mampu mencegah kelahiran bayi dengan penyakit terbabit.
“Dari Januari hingga Jun lalu, seramai 91,223 pelajar Tingkatan Empat diberikan borang kebenaran bertulis untuk menjalani ujian saringan talasemia. Daripada jumlah itu, 78,114 pelajar atau 85.6 peratus dibenarkan oleh ibu bapa mereka menjalani saringan berkenaan.
“Seramai 70,794 pelajar sudah disaring sebelum hasil saringan mendapati 14,580 disyaki pembawa talasemia. Mereka sedang menunggu keputusan ujian pengesahan daripada hospital, sama ada turut menghidap penyakit itu,” katanya.
Beri rawatan sesuai
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan saringan talasemia pelajar Tingkatan Empat peringkat kebangsaan, di sini semalam, katanya, selain rawatan bersesuaian, pelajar terbabit diberi kaunseling supaya memilih pasangan hidup tiada penyakit sama bagi mengelakkan bayi mereka turut menderita akibat talasemia.
Katanya, purata kos rawatan bagi seorang pesakit talasemia ialah kira-kira RM5,000 sebulan dengan kerajaan membelanjakan anggaran RM40 juta sebulan untuk menyediakan rawatan kepada 6,800 pesakit berkenaan di seluruh negara ketika ini.
Sementara itu, beliau berkata, suruhanjaya bebas bagi mengaudit semua hospital di seluruh negara dijangka ditubuhkan dua minggu lagi, selepas laporan kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang mengorbankan enam pesakit dan mencederakan empat individu lain pada 25 Oktober lalu, dibentang kepada Kabinet.
Katanya, suruhanjaya berkenaan yang akan dianggotai pakar dalam pelbagai bidang akan melakukan proses audit ke atas aspek keselamatan 148 hospital kerajaan di seluruh negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo