NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlis bersedia hadapi saman berhubung perobohan kuil, kata MB



PETALING JAYA:
 Kerajaan Perlis bersedia menghadapi saman difailkan jawatankuasa sebuah kuil Hindu di Kangar berhubung tindakan merobohkan kuil berkenaan baru-baru ini.

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengambil tindakan itu mengikut Kanun Tanah Negara 1965, lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, tindakan undang-undang adalah perkara biasa dan kerajaan negeri bersedia mempertahankan pendiriannya kerana tanah berkenaan merupakan milik kerajaan.

“Kita tunggu dan lihat. Ini tanah kita, jadi kita akan pertahankan kedudukan kita,” katanya.

Kuil Sri Veeramakaliamman di Kangar dirobohkan pihak berkuasa Perlis pada 20 Ogos lalu.

Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan berkata kuil berkenaan dibina di atas tanah kerajaan tanpa kelulusan, manakala tindakan penguatkuasaan dibuat selepas notis serta perbincangan dengan jawatankuasa kuil dilakukan selama beberapa tahun.

FMT sebelum ini melaporkan jawatankuasa kuil itu memfailkan saman sivil terhadap kerajaan negeri Perlis, Pejabat Tanah dan Galian Kangar serta Majlis Perbandaran Kangar pada 19 Ogos, sehari sebelum kerja perobohan dijalankan.

Pengerusi jawatankuasa kuil, P Sathesh Kumar, berkata pihaknya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Abu Bakar berhubung isu berkenaan.

Beliau turut mendakwa Abu Bakar memberi jaminan ketika sesi dialog bersama penduduk pada 14 Julai bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap kuil itu sehingga 31 Disember sementara usaha mencari penyelesaian dijalankan.

Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

KKM akan jelaskan keputusan tarik balik rayuan kes vape nikotin



KUALA LUMPUR:
 Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjelaskan pendirian kerajaan berhubung keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengecualian nikotin cecair vape daripada senarai racun sebagai tidak sah.

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata beliau sudah membentangkan memorandum Kabinet mengenai pendirian kementerian itu, dengan perkara berkenaan melibatkan beberapa implikasi dari segi undang-undang dan dasar.

“Saya bukan cuba mengelak daripada menjawab perkara ini.

“Kita akan mengadakan taklimat media kerana kita tidak mahu berlaku salah faham, tanggapan tidak tepat atau laporan tidak betul,” katanya kepada media selepas sebuah program.

Dzulkefly berkata keputusan untuk tidak meneruskan rayuan serta isu pengecualian nikotin cecair daripada Senarai Racun berkait rapat dengan Akta Racun 1952 (Akta 366) dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau berkata ada keperluan untuk memastikan kedua-dua undang-undang itu selaras antara satu sama lain.

Menurutnya, taklimat media itu akan menerangkan sebab kerajaan memilih tidak mencabar keputusan Mahkamah Tinggi, termasuk kesan keputusan berkenaan serta perkara mungkin berlaku sekiranya rayuan diteruskan.

Taklimat itu akan diadakan sebelum mesyuarat menteri-menteri kesihatan Asean bulan depan.

Dzulkefly berkata keputusan menarik balik rayuan itu tidak bermaksud kerajaan akan menghentikan kawal selia terhadap produk vape.

Sebaliknya, katanya, Akta 852 akan terus dikuatkuasakan bagi melindungi golongan bawah umur serta kesihatan awam.

Beliau berkata pendekatan kerajaan dalam mengawal selia vape, termasuk rancangan berkaitan produk vape sistem terbuka, akan diperincikan dalam taklimat berkenaan.

Jerebu semakin membimbangkan

Sementara itu, Dzulkefly berkata Kabinet turut membincangkan langkah mengurangkan pendedahan rakyat terhadap jerebu, termasuk mengehadkan aktiviti luar pelajar dan memindahkan aktiviti ke dalam bangunan jika perlu.

Beliau berkata jumlah kawasan yang merekodkan bacaan kualiti udara tidak sihat meningkat daripada tujuh kepada 30 kawasan, dengan indeks pencemaran udara (IPU) berada antara 101 hingga 200 setakat 26 Ogos.

Beliau turut memaklumkan berlaku peningkatan kes berkaitan masalah pernafasan, dengan kes asma meningkat daripada 61 kepada 219, manakala kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat daripada 1,673 kepada 2,037.

“Ini jelas membimbangkan dan menjadi sebab untuk kita mengambil tindakan,” katanya.

Dzulkefly berkata KKM sedang memberi panduan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), selain menggesa golongan berisiko seperti kanak-kanak, wanita hamil, warga emas serta pesakit asma atau penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kurangkan pendedahan di luar, berada di dalam bangunan dan seperti biasa, tingkatkan pengambilan air,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PN selamatkan 76,000 hektar ladang THP




PETALING JAYA:
 Seorang Ahli Parlimen PAS mendakwa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menyelamatkan kira-kira 76,000 hektar ladang TH Plantations Bhd (THP) daripada dilupuskan.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mendakwa rancangan penjualan dibuat ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2019 sebelum dibatalkan selepas PN mengambil alih pentadbiran pada 2020.

Dalam hantaran di Facebook, bekas timbalan menteri agama itu berkata keputusan berkenaan dibuat ketika harga minyak sawit mentah (CPO) merosot, sebelum prestasi kewangan THP kembali pulih pada tahun-tahun berikutnya.

Ahmad Marzuk menyenaraikan keuntungan bersih THP sebanyak RM27.46 juta pada 2020, RM101.57 juta (2021), RM87.94 juta (2022), RM60.10 juta (2023), RM97.32 juta (2024) dan RM111.06 juta pada tahun lalu.

Laporan tahunan THP menunjukkan syarikat itu mencatat keuntungan sebelum cukai RM178.99 juta pada 2025, berbanding RM160.42 juta pada tahun sebelumnya.

“Kalau dulu dijual, duit mungkin dapat sekali. Tetapi tanah, pekerjaan dan keuntungan masa depan sudah menjadi milik orang lain.

“Nasib baik kita sempat batalkan,” kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu.

Mujahid Yusof, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) pada Jul 2020 berkata aset THP termasuk ladangnya terpaksa dijual yang didakwanya kerana syarikat itu dibebani hutang sejak 2015.

Katanya, kerajaan PH terpaksa menjual beberapa aset THP kerana syarikat itu mencatatkan hutang sebanyak RM1.24 bilion pada 2018 dan RM1.29 bilion pada 2019.


Sumber | FMT Malaysia





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 5 sen



PETALING JAYA:
 Harga petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 5 sen seliter di seluruh negara mulai esok, menurut Kementerian Kewangan.

RON97 ditetapkan RM4.30 seliter berbanding RM4.25 setakat hari ini dan RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM3.82 seliter naik berbanding RM3.77 sebelum ini.

Harga diesel tanpa subsidi pula naik daripada RM4.67 kepada RM4.72 seliter.

Semua harga itu berkuat kuasa hingga 2 September.

Sementara itu, harga minyak bersubsidi kekal tidak berubah di mana RON95 bawah BUDI95 kekal RM1.99 seliter dan diesel menerusi BUDI Diesel terus dijual RM2.10 seliter.

Harga subsidi bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi masing-masing turut tidak berubah pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan berkata ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.

Selepas 179 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia.

Sementara itu, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia

“Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia.

“Kerajaan bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Adun PH perlu pulang peruntukan diterima sehari sebelum DUN N Sembilan bubar



PETALING JAYA:
 Tujuh belas Adun Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras DUN di bawah kerajaan Negeri Sembilan terdahulu perlu memulangkan peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini membuat keputusan itu susulan isu kelulusan peruntukan terbabit dibangkitkan dalam sidang khas DUN baru-baru ini.

Jelasnya, setiap bekas exco perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan Ogos dan September, sementara 10 Adun PH bersama dua penyelaras DUN Labu dan Paroi perlu memulangkan peruntukan bagi Julai hingga September, masing-masing berjumlah RM174,000 serta RM150,000.

“Pada 3 Jun lalu, kerajaan negeri melalui MMKN meluluskan peruntukan kepada Adun PH dan pada 4 Jun, peruntukan itu disalurkan ke akaun mereka. Namun, DUN dibubarkan 5 Jun. Bagi exco, termasuk menteri besar ketika itu, mereka masih menjalankan tugas sehingga pilihan raya dan layak menggunakan peruntukan bagi Julai.

“Dengan pembubaran DUN, semua Adun tidak lagi mempunyai kelayakan menggunakan peruntukan kerajaan bagi tujuan kebajikan rakyat kerana mereka tidak lagi memegang mandat sebagai Adun aktif,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Negeri, Seremban.

Pejabat Menteri Besar akan menghantar surat tuntutan pemulangan peruntukan itu dalam masa terdekat dan 30 hari diberikan kepada mereka untuk memulangkan dana itu.

Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Asna Amin, berkata penggunaan peruntukan itu selepas pembubaran DUN tidak wajar kerana semua Adun, kecuali exco, tidak lagi memegang mandat sebagai wakil rakyat.

“Dana dimasukkan secara ‘lump sum’ melalui akaun pusat khidmat Adun, tetapi Adun tidak lagi memegang jawatan ketika itu. Sebelum ini, tidak pernah berlaku dana dimasukkan selepas seseorang itu tidak lagi berstatus Adun,” katanya ketika dihubungi FMT.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan penggunaan peruntukan kerajaan selaras kedudukan dan status semasa selepas pembubaran DUN, selain menjaga ketelusan serta integriti pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Terdahulu, isu peruntukan RM180,000 yang didakwa disalurkan kepada Adun PH dan diluluskan sehari sebelum pembubaran DUN pada 5 Jun lalu dibangkitkan pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan pada 18 Ogos lalu.

Ia susulan tular surat sumbangan kewangan bagi kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada Adun PH berjumlah RM180,000 untuk tempoh Julai hingga September, yang dikatakan bertarikh 4 Jun lalu, ketika kempen PRN Negeri Sembilan ke-16.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Yusoff Rawther Sudah Bebas, Tetapi Persoalan Perangkap Masih Belum Terjawab

Pada 12 Jun 2025, selepas lebih sembilan bulan ditahan tanpa jamin di Blok Hukuman Mati Sungai Buloh, Muhammad Yusoff Rawther dibebaskan daripada pertuduhan dadah dan pistol tanpa dipanggil membela diri.

Keadaannya ketika keluar mahkamah cukup menceritakan segalanya. Daripada seorang atlet CrossFit yang tegap, dia keluar dalam keadaan kurus kering seperti tinggal tulang — wajah kosong, tubuh kaku dan jelas masih terkesan selepas berbulan-bulan hidup dalam ketidakpastian serta bayang-bayang hukuman mati.

Reman tanpa jamin bukan perkara kecil. Ia sendiri boleh menjadi hukuman mental, emosi dan sosial.

Namun lebih setahun selepas dia dibebaskan, persoalan utama masih belum terjawab.

Bagaimana dadah dan pistol itu boleh berada dalam keretanya?

Siapa “informant” yang menelefon polis pada jam 5 pagi sebelum serbuan dibuat kira-kira sejam kemudian? Mengapa identitinya masih tidak diketahui?

Dan adakah polis sudah menyiasat dakwaan Yusoff di mahkamah yang mengaitkan PMX dan seorang ikon perniagaan muda sebagai pihak yang didakwanya berada di sebalik perangkap tersebut?

Kenapa langsung tiada perkembangan dari pihak berkuasa berkenaan isu ini?

Yusoff sudah dibebaskan lebih setahun. Tetapi adakah dia benar-benar sudah mendapat keadilan?

Soalan ini masih wajib dijawab.

Kerana hari ini kita melihat Yusoff.
Esok, bawah Madani ini ia boleh berlaku pada sesiapa.
----
Surat tulisan tangan asal Yusoff, yang ditulisnya ketika dalam penjara dan kemudian dibacakan di mahkamah, saya letakkan di ruangan komen:

Yang Arif, saya tidak bersalah.

YA, nama saya MYR. Saya berumur 31 tahun. Saya seorang atlet crossfit dan merupakan ahli generasi keempat daripada sebuah keluarga yang telah lama bertapak. Kehidupan saya hanya berkisar kepada keluarga, kerja dan latihan. 

Saya tidak pernah menyimpang daripada jalan itu. Saya tidak pernah terlibat dalam sebarang kegiatan haram atau pernah melakukan jenayah sepanjang hidup saya.

Saya sedang difitnah secara zalim oleh pihak berkuasa dan didakwa secara jahat. Kempen sewenang-wenangnya ini adalah satu bentuk penindasan dan pembalasan dendam terhadap seorang rakyat Malaysia yang tidak bersalah. 

YA, tuduhan yang direka-reka ini adalah satu tindakan balas dendam terhadap saya kerana bercakap benar.

Saya ditangkap seminggu selepas memfailkan senarai saksi dalam saman saya terhadap XXXX XXXXXXX atas dakwaan menyerang saya secara seksual - suatu tindakan yang telah menafikan hak perlembagaan saya. 

Saya kini merana dalam penjara, menjadi rakyat Malaysia pertama yang ditahan reman secara pengasingan dan ditempatkan di BA, kononnya demi keselamatan saya. Tekanan dan penderitaan yang saya alami amat dahsyat dan sukar digambarkan.

YA, saya benar-benar tidak bersalah. Saya telah mengalami serangan seksual oleh seseorang yang dahulu saya hormati, dipukul, dicederakan, diugut untuk diperangkap dan dibunuh, difitnah, diekori dan diganggu selama dua tahun - dan kini, saya telah difitnah pula.

YA, Mahkamah Yang Mulia ini mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan kuasanya yang besar demi melindungi saya daripada kejahatan-kejahatan pengecut ini. 

YA hanya wujud demi menegakkan keadilan. Maka itu, melengahkan keadilan adalah satu bentuk penafian terhadap keadilan.

Mahkamah yang mulia ini, dengan kebijaksanaan tidak terhingga, mesti mengutamakan pencapaian keadilan berbanding kepatuhan buta terhadap kerenah birokrasi. 

Dalam semangat itu, YA, saya merayu dan memohon dengan rendah hati tetapi tegas agar Mahkamah Yang Mulia ini memulakan perbicaraan dengan segera dan memberikan saya keadilan pada masa sekarang.

Segala yang kurang daripada itu adalah satu kezaliman. 

Terima kasih, YA.

“Jika Ada Bukti Kecurian, Saya Orang Pertama Lapor” – Madinah

KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 — Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, menegaskan beliau akan menjadi individu pertama membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti bahawa berlaku kecurian dalam Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang tempoh yang dirujuk oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menurut Madinah, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang disediakan ketika beliau mengetuai Jabatan Audit Negara tidak menemukan sebarang bukti langsung mengenai unsur kecurian dalam TH.

Beliau berkata, proses pengauditan yang dijalankan oleh pasukannya ketika itu dibuat berdasarkan piawaian audit serta bukti yang diperoleh sebelum sesuatu penyata atau sijil audit dikeluarkan.

“Saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian ketika masih bergelar Ketua Audit Negara.

“Sekiranya saya dan pasukan menemui bukti berlaku kecurian, saya bukan sahaja tidak akan menyembunyikannya, malah akan memberi tumpuan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH di sini hari ini.

Madinah turut berpandangan bahawa dapatan RCI berhubung TH mungkin berbeza sekiranya beliau dipanggil untuk memberikan keterangan sebagai bekas Ketua Audit Negara.

Laporan RCI setebal 211 halaman sebelum ini menyentuh mengenai ketidaktegasan Ketua Audit Negara, termasuk berhubung Penyata Kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 yang diberikan Sijil Audit Bersih.

RCI turut mengambil kira kewujudan catatan Emphasis of Matter (EOM) dalam laporan audit bagi tahun kewangan 2017.

Madinah yang menjawat jawatan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 sebelum ini melahirkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil untuk memberikan keterangan dalam prosiding RCI berkenaan.

Pada 13 Ogos lalu, beliau mendedahkan bahawa dirinya telah hadir ke pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tarikh dan waktu yang ditetapkan untuk memberi keterangan, namun tidak dipanggil.

“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa yang ditetapkan. Saya menunggu lebih 30 minit tetapi akhirnya tidak dipanggil.

“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila saya tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” katanya.

Madinah menegaskan bahawa Jabatan Audit Negara ketika menjalankan tugasnya sentiasa berpandukan fakta, bukti pengauditan dan piawaian yang ditetapkan, bukannya membuat kesimpulan berdasarkan persepsi atau andaian. - 1Media.my

Selangor isytihar 1 Sept cuti peristiwa selepas juarai Sukma



SHAH ALAM:
 Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan cuti peristiwa khas pada 1 Sept ini selepas kontinjennya muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

Beliau berkata, cuti peristiwa khas itu bagi mengiktiraf sumbangan atlet, pegawai, sukarelawan dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kontinjen Selangor.

“Sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan dan ibu bapa yang membantu sepanjang temasya, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan cuti peristiwa khas untuk rakyat Selangor pada 1 Sept,” katanya pada majlis penutup Sukma di Aneka Walk.

Turut hadir Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Selangor memenangi 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Wilayah Persekutuan menyusul dengan 51 emas, 54 perak dan 51 gangsa.

Amirudin berkata, Sukma bukan sekadar temasya sukan, tetapi acara yang memberi peluang kepada atlet muda bertukar pandangan, pengalaman hidup dan menjalin persahabatan baharu merentasi kaum serta agama.

“Inilah makna sebenar menjadi rakyat Malaysia.”

Sukma bermula dari 15 Ogos lalu hingga hari ini.


Sumber | FMT Malaysia







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo