NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adun PH perlu pulang peruntukan diterima sehari sebelum DUN N Sembilan bubar



PETALING JAYA:
 Tujuh belas Adun Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras DUN di bawah kerajaan Negeri Sembilan terdahulu perlu memulangkan peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini membuat keputusan itu susulan isu kelulusan peruntukan terbabit dibangkitkan dalam sidang khas DUN baru-baru ini.

Jelasnya, setiap bekas exco perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan Ogos dan September, sementara 10 Adun PH bersama dua penyelaras DUN Labu dan Paroi perlu memulangkan peruntukan bagi Julai hingga September, masing-masing berjumlah RM174,000 serta RM150,000.

“Pada 3 Jun lalu, kerajaan negeri melalui MMKN meluluskan peruntukan kepada Adun PH dan pada 4 Jun, peruntukan itu disalurkan ke akaun mereka. Namun, DUN dibubarkan 5 Jun. Bagi exco, termasuk menteri besar ketika itu, mereka masih menjalankan tugas sehingga pilihan raya dan layak menggunakan peruntukan bagi Julai.

“Dengan pembubaran DUN, semua Adun tidak lagi mempunyai kelayakan menggunakan peruntukan kerajaan bagi tujuan kebajikan rakyat kerana mereka tidak lagi memegang mandat sebagai Adun aktif,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Negeri, Seremban.

Pejabat Menteri Besar akan menghantar surat tuntutan pemulangan peruntukan itu dalam masa terdekat dan 30 hari diberikan kepada mereka untuk memulangkan dana itu.

Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Asna Amin, berkata penggunaan peruntukan itu selepas pembubaran DUN tidak wajar kerana semua Adun, kecuali exco, tidak lagi memegang mandat sebagai wakil rakyat.

“Dana dimasukkan secara ‘lump sum’ melalui akaun pusat khidmat Adun, tetapi Adun tidak lagi memegang jawatan ketika itu. Sebelum ini, tidak pernah berlaku dana dimasukkan selepas seseorang itu tidak lagi berstatus Adun,” katanya ketika dihubungi FMT.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan penggunaan peruntukan kerajaan selaras kedudukan dan status semasa selepas pembubaran DUN, selain menjaga ketelusan serta integriti pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Terdahulu, isu peruntukan RM180,000 yang didakwa disalurkan kepada Adun PH dan diluluskan sehari sebelum pembubaran DUN pada 5 Jun lalu dibangkitkan pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan pada 18 Ogos lalu.

Ia susulan tular surat sumbangan kewangan bagi kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada Adun PH berjumlah RM180,000 untuk tempoh Julai hingga September, yang dikatakan bertarikh 4 Jun lalu, ketika kempen PRN Negeri Sembilan ke-16.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo