NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KKM akan jelaskan keputusan tarik balik rayuan kes vape nikotin



KUALA LUMPUR:
 Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjelaskan pendirian kerajaan berhubung keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengecualian nikotin cecair vape daripada senarai racun sebagai tidak sah.

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata beliau sudah membentangkan memorandum Kabinet mengenai pendirian kementerian itu, dengan perkara berkenaan melibatkan beberapa implikasi dari segi undang-undang dan dasar.

“Saya bukan cuba mengelak daripada menjawab perkara ini.

“Kita akan mengadakan taklimat media kerana kita tidak mahu berlaku salah faham, tanggapan tidak tepat atau laporan tidak betul,” katanya kepada media selepas sebuah program.

Dzulkefly berkata keputusan untuk tidak meneruskan rayuan serta isu pengecualian nikotin cecair daripada Senarai Racun berkait rapat dengan Akta Racun 1952 (Akta 366) dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau berkata ada keperluan untuk memastikan kedua-dua undang-undang itu selaras antara satu sama lain.

Menurutnya, taklimat media itu akan menerangkan sebab kerajaan memilih tidak mencabar keputusan Mahkamah Tinggi, termasuk kesan keputusan berkenaan serta perkara mungkin berlaku sekiranya rayuan diteruskan.

Taklimat itu akan diadakan sebelum mesyuarat menteri-menteri kesihatan Asean bulan depan.

Dzulkefly berkata keputusan menarik balik rayuan itu tidak bermaksud kerajaan akan menghentikan kawal selia terhadap produk vape.

Sebaliknya, katanya, Akta 852 akan terus dikuatkuasakan bagi melindungi golongan bawah umur serta kesihatan awam.

Beliau berkata pendekatan kerajaan dalam mengawal selia vape, termasuk rancangan berkaitan produk vape sistem terbuka, akan diperincikan dalam taklimat berkenaan.

Jerebu semakin membimbangkan

Sementara itu, Dzulkefly berkata Kabinet turut membincangkan langkah mengurangkan pendedahan rakyat terhadap jerebu, termasuk mengehadkan aktiviti luar pelajar dan memindahkan aktiviti ke dalam bangunan jika perlu.

Beliau berkata jumlah kawasan yang merekodkan bacaan kualiti udara tidak sihat meningkat daripada tujuh kepada 30 kawasan, dengan indeks pencemaran udara (IPU) berada antara 101 hingga 200 setakat 26 Ogos.

Beliau turut memaklumkan berlaku peningkatan kes berkaitan masalah pernafasan, dengan kes asma meningkat daripada 61 kepada 219, manakala kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat daripada 1,673 kepada 2,037.

“Ini jelas membimbangkan dan menjadi sebab untuk kita mengambil tindakan,” katanya.

Dzulkefly berkata KKM sedang memberi panduan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), selain menggesa golongan berisiko seperti kanak-kanak, wanita hamil, warga emas serta pesakit asma atau penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kurangkan pendedahan di luar, berada di dalam bangunan dan seperti biasa, tingkatkan pengambilan air,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo