BANGI, 16 MUHARRAM – BERSATU memberi amaran bahawa sebarang tindakan yang boleh menjejaskan peluang kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) boleh dianggap sebagai sabotaj terhadap usaha bersama parti komponen PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sehubungan itu, BERSATU menegaskan tidak akan menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata tindakan itu selaras dengan dasar dan ketetapan PN.
Menurutnya, tiada sebarang keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mahu pun dasar rasmi gabungan itu yang mengarahkan atau membenarkan sokongan kepada PH atau BN.
“Jadi BERSATU berpegang kepada keputusan dasar tersebut.
“Keputusan dasar ini menjadi panduan rasmi serta mengikat semua ahli BERSATU dan parti-parti komponen PN,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Tun Faisal juga meminta semua ahli dan penyokong memberikan sokongan penuh kepada setiap calon yang bertanding menggunakan lambang PN.
Semalam, media melaporkan sekumpulan ahli BERSATU secara terbuka mengumumkan akan menyokong calon PH di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan pada pilihan raya,11 Julai ini.
Mereka mendakwa, keputusan itu diambil bukan kerana kecewa dengan PN, tetapi tertarik dengan kestabilan kerajaan semasa.
PN turut bertanding di DUN Medan dengan calon dari PAS, Ahmad Rosdi Bahari yang akan menentang penyandang dari BN, Zulkurnain Kamisan dan calon PH, Hishamuddin @ Misrin Ishak.
Bagaimanapun, PAS mengambil pendirian berbeza apabila secara terbuka meminta ahli dan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN bagi mengekang pengaruh PH di Johor.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment