MUAR – Pas sedia bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri sekiranya parti itu tidak memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (Johor) ke-16, Sabtu ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kesediaan itu termasuk menyokong calon Menteri Besar serta barisan Exco negeri daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Malah, menurut beliau, Pas juga tidak akan meminta sebarang jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya membentuk kerajaan negeri Johor bersama UMNO-BN.
Apa yang paling mustahak bagi Pas pada PRN Johor kali ini, menurutnya, adalah memastikan kerajaan negeri dikuasai oleh orang Melayu dan Islam, serta bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Kalau UMNO menang, UMNO jadi menteri besar. Suka hati UMNO nak lantik Exco orang dia atau siapa. Kalau sekiranya ada kelemahan (tak cukup kerusi), Pas boleh tampung kelemahan itu bergantung kepada kerusi yang kita menang, mungkin (boleh bentuk) kerajaan dengan simple majoriti.
“Kalau nak majoriti dua pertiga, kalau Pas cukup kerusi, cukup jumlah, Pas boleh tampung. Atau tak cukup majoriti, PAS boleh tampung.
“Yang penting kuasa politik Melayu Islam dan bukan Islam tak ekstrem. Kalau dia (UMNO) sudah cukup jumlah, tak jadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Grand Finale Pas sempena PRN Johor di Simpang Jeram, di sini malam tadi.
Sementara itu, ditanya berkenaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa sokongan ahli Pas kepada calon BN di kerusi tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) bukan jaminan kerjasama, Abdul Hadi berkata, apa yang penting adalah keikhlasan Pas.
“Yang penting dari hati ke hati. Kalau ada jaminan buat tandatangan pun, bersumpah pun, kalau tak ada hati ke hati, tak ada makna,” katanya.
Pas sebelum ini menggesa ahli dan penyokongnya menyokong calon BN di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi calon PN, atas dasar mahu menyekat kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Pada PRN Johor kali ini, terdapat 23 kerusi yang tidak ditandingi PN yang mana kerusi-kerusi itu dinilai memberi kelebihan kepada BN sekiranya ahli dan penyokong Pas mematuhi arahan pucuk pimpinan parti tersebut. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment