KUALA LUMPUR – Pengundi Parlimen Pandan dijangka lebih cenderung memilih calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Datuk Seri Rafizi Ramli sekiranya parti itu menampilkan 'figura yang tepat'pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia, Misrinah Misban berkata, pengundi bandar khususnya di Pandan lazimnya membuat pertimbangan secara rasional dengan melihat aspek kestabilan politik, ekonomi dan jaminan masa depan.
Menurutnya, Rafizi sememangnya dikenali sebagai tokoh yang bijak mencetuskan gelombang politik, membina naratif reformasi serta membawa idea baharu kepada rakyat.
“Namun, penilaian akhir pengundi bukan terletak kepada siapa yang paling lantang bercakap mengenai perubahan, tetapi kepada siapa yang berjaya menterjemahkan perubahan itu ketika memegang kuasa.
“Jika PKR mampu menampilkan seorang figura yang lebih tenang, meyakinkan, boleh bekerjasama dengan kerajaan serta mempunyai imej stabil dan dekat dengan komuniti bandar, kemungkinan besar sebahagian besar pengundi Cina akan melihat pilihan itu sebagai lebih selamat untuk masa depan ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, walaupun Rafizi mendakwa Parti Bersama Malaysia (Bersama) mempunyai kira-kira 15 peratus ahli berbangsa Cina, angka keahlian itu tidak semestinya diterjemahkan kepada keyakinan pengundi secara keseluruhan.
Katanya, pengundi Cina lazimnya tidak mudah terikat dengan sentimental politik semata-mata, sebaliknya lebih menilai keupayaan sesebuah parti dalam memastikan kestabilan ekonomi serta akses kepada pembangunan.
“Persoalan utama yang akan dinilai pengundi Cina termasuk di Pandan ialah sama ada ketika Rafizi berada dalam kerajaan sebagai Menteri Ekonomi, wujud perubahan besar yang benar-benar dirasai rakyat.
“Apakah terdapat dasar signifikan yang mampu mengubah kehidupan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup, peluang perniagaan dan kestabilan ekonomi?” katanya.
Menurut Misrinah, ramai pengundi Cina melihat politik secara praktikal dan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.
“Mereka mungkin menghargai keberanian seseorang pemimpin bersuara, tetapi pada masa sama tetap mahu mengetahui manfaat yang bakal diterima daripada sokongan diberikan.
“Dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu ketika ini, termasuk perang tarif, ketidakstabilan geopolitik dan persaingan serantau yang semakin sengit, pengundi cenderung memilih kesinambungan pentadbiran serta akses kepada kuasa kerajaan berbanding simbol protes semata-mata,” katanya.
Tambah beliau, nostalgia reformasi mungkin masih mempunyai pengaruh, namun sentimen itu semakin perlahan apabila berdepan realiti kehidupan harian rakyat.
“Politik hari ini bukan lagi sekadar mengenai keberanian mengkritik kerajaan, tetapi keupayaan menjaga kepentingan dan masa depan pengundi.
“Ini menjadi cabaran terbesar Rafizi di Pandan kerana walaupun beliau mungkin masih mampu menguasai pentas ceramah, majoriti pengundi senyap khususnya pengundi Cina dilihat semakin pesimis dan sinikal.
“Mereka mula bertanya, jika ketika berada dalam kerajaan pun tiada perubahan besar mampu dibawa, apakah yang lebih besar boleh dilakukan beliau sebagai pembangkang,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Amirudin Shari mengumumkan Parlimen Pandan sebagai kawasan angkat kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Parlimen Pandan mempunyai komposisi pengundi terdiri daripada 46 peratus Melayu, 46 peratus Cina dan tujuh peratus India.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment