NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan politikkan ibadah korban tidak matang - AMK



IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan sindiran Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari yang mempolitikkan program korban dan bantuan asnaf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Aidiladha sebagai tidak matang.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan sinis berhubung sumbangan lembu korban itu hanya mewujudkan persepsi politik terhadap usaha kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menurutnya, sempena sambutan Aidiladha tahun ini, lebih 700 ekor lembu korban disumbangkan menerusi peruntukan dan sumbangan yang diselaraskan atas kapasiti Perdana Menteri bagi tujuan kebajikan rakyat di seluruh negara.

“Pelaksanaan agihan tersebut diselaraskan oleh AMK Malaysia menerusi kerjasama pelbagai yayasan, pertubuhan, persatuan serta rakan strategik lain bagi memastikan manfaat ibadah korban dapat disampaikan kepada golongan memerlukan.

“Program Majlis Qurban Kasih Madani turut dilaksanakan di pelbagai kawasan parlimen seluruh negara dengan penglibatan belia tempatan, masjid, surau, rumah anak yatim, institusi tahfiz serta komuniti setempat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhammad Kamil berkata, sebagai contoh di kawasan Parlimen Padang Rengas sahaja hampir 50 ekor lembu korban diagihkan kepada masjid, surau, rumah anak yatim, pusat tahfiz, persatuan dan penduduk setempat.

Katanya, Program Korban Perdana Madani di Kampung Ribu pula melibatkan 10 ekor lembu korban yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 penerima.

Menurut beliau, usaha berkenaan bukan bersifat politik semata-mata sebaliknya gerakan kebajikan berskala besar yang memberi manfaat terus kepada rakyat khususnya golongan asnaf dan mereka memerlukan.

Tambahnya, walaupun Anwar tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, beliau tetap melaksanakan amanah sebagai ketua kerajaan dan Menteri Kewangan dengan memastikan peruntukan kebajikan serta bantuan rakyat disalurkan secara adil ke seluruh negara termasuk negeri ditadbir pembangkang.

“Malah rakyat di Kelantan termasuk di Parlimen Pasir Mas sendiri tidak pernah dipinggirkan daripada menerima pelbagai bentuk bantuan dan manfaat di bawah Kerajaan Madani.

“Justeru Ahli Parlimen Pasir Mas sewajarnya bertanya sendiri kepada Menteri Besar Kelantan sama ada Perdana Menteri pernah berlaku zalim terhadap rakyat negeri itu ataupun sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, sambutan Aidiladha seharusnya menjadi ruang untuk menyemai nilai pengorbanan, perpaduan dan kasih sayang sesama masyarakat, bukannya dijadikan pentas sindiran politik terhadap usaha membantu rakyat dan golongan memerlukan.

Sebelum ini Fadhli menerusi hantaran di Facebook secara sinis memuji Anwar yang tetap menyumbang 80 ekor lembu percuma untuk asnaf di Permatang Pauh, Pulau Pinang walaupun tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo