Undang-undang ini menetapkan bahawa sesuatu perlawanan bola sepak tidak boleh dimulakan atau diteruskan sekiranya mana-mana pasukan mempunyai kurang daripada tujuh pemain. Peraturan ini bukan sekadar teknikal, malah berpaksikan tiga prinsip besar iaitu keselamatan, keseimbangan permainan dan integriti keputusan. Sejarah telah membuktikan ketegasan undang-undang ini.
Pada 16 Mac 2002, perlawanan English Football League First Division antara Sheffield United dan West Bromwich Albion terpaksa dihentikan pada minit ke-82 apabila Sheffield United tinggal enam pemain akibat kad merah dan kecederaan dengan ketinggalan gol 0-3.
Begitu juga di Brazil pada 18 Februari 2018, perlawanan Vitória menentang Bahia ditamatkan selepas Vitória jatuh ke angka enam pemain.
Dalam kedua-dua kes, pengadil tidak mengambil kira masa atau kedudukan jaringan, tetapi undang-undang mesti ditegakkan demi integriti permainan.
Daripada padang bola sepak ke DUN
Analogi ini menjadi signifikan apabila situasi semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dilihat melalui lensa yang sama. PAS pada asalnya mempunyai sembilan ADUN, namun tiga ADUN telah gugur kelayakan sebagai ADUN susulan penguatkuasaan undang-undang anti-lompat parti.
Baki PAS kini ialah enam ADUN, ditambah Speaker yang juga daripada PAS, menjadikan jumlahnya tujuh orang. Jika DUN Perlis diibaratkan sebagai Stadium Indera Kayangan, maka PAS masih berada pada bilangan minimum yang sah untuk ‘terus bermain’, dengan Speaker sebagai ‘penjaga gol’ yang memastikan peraturan dan tatacara dipatuhi.
Inilah hakikat kedudukan jumlah ADUN PAS Perlis hari ini yang bukannya selesa, tetapi masih sah dan berfungsi dari sudut perlembagaan.
Justifikasi peranan tujuh ADUN PAS merujuk kepada prinsip dan ketetapan Law 3 IFAB
1. Keselamatan Kerajaan Negeri
Dalam bola sepak, bilangan pemain yang terlalu sedikit mendedahkan pemain kepada kecederaan dan keletihan melampau. Dalam konteks DUN, kerajaan yang terlalu rapuh dari segi sokongan wakil rakyat berdepan risiko iaitu ketidakstabilan pentadbiran, tekanan melampau terhadap empat EXCO, dan gangguan berterusan terhadap keupayaan mentadbir.
Kehadiran tujuh ADUN PAS menjadi penampan atau benteng keselamatan politik agar kerajaan negeri tidak tumbang secara mendadak dan tidak terjerumus ke dalam krisis berpanjangan.
2. Keseimbangan pentadbiran dan semak imbang
Law 3 IFAB mencegah perlawanan yang berat sebelah dan tidak adil. Begitu juga dalam DUN, keseimbangan kuasa sangat penting supaya dasar digubal melalui perbahasan, keputusan dibuat secara kolektif, dan semak imbang berlaku secara sihat.
Dengan hanya bilangan minimum di pihak lain, peranan ADUN PAS menjadi kritikal untuk memastikan DUN tidak berubah menjadi sidang yang tempang, di mana keputusan diluluskan tanpa perbahasan bermakna.
3. Integriti dan keutuhan perundangan negeri
IFAB menghentikan perlawanan bukan kerana emosi, tetapi kerana keputusan yang lahir daripada permainan tidak sah akan dipersoalkan legitimasinya.
Begitu juga, undang-undang, bajet dan ketetapan yang digubal dalam DUN mesti lahir daripada sidang yang sah, berwibawa dan cukup bilang. Peranan ADUN PAS di sini bukan sekadar angka, tetapi sebagai penjaga legitimasi perundangan negeri Perlis, agar setiap keputusan berdiri kukuh dari segi undang-undang dan moral demokrasi.
Kesimpulan
Dalam bola sepak, pasukan dengan tujuh pemain tidak dianggap kuat, tetapi masih sah untuk meneruskan perlawanan. Namun jika jatuh ke enam sama ada cedera, kad merah atau walk-out, wisel dibunyikan dan permainan dihentikan.
Dalam analogi DUN Perlis sebagai Stadium Indera Kayangan, PAS hari ini berada pada kedudukan minimum yang sah, bukan untuk bermegah, tetapi untuk menjaga keselamatan kerajaan, keseimbangan pentadbiran dan integriti perundangan negeri.
Inilah peranan sebenar tujuh ADUN PAS bagi memastikan permainan demokrasi negeri Perlis tidak ditamatkan secara tergesa-gesa, dan jika keputusan besar perlu dibuat, ia berlaku mengikut undang-undang, bukan paksaan keadaan.
Seperti bola sepak, demokrasi juga memerlukan cukup pemain untuk kekal sah dan dielakkan walk-out, ketidakhadiran atau digantung keahlian supaya keabsahan DUN Perlis kekal teguh.
TS DR HAJI MOHD SUFFIAN HAJI YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 6/2/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment