NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan pengesanan kluster tuberkulosis atau tibi di Kota Tinggi, Johor.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya ketika ini berpandukan sepenuhnya saranan dan nasihat yang diberikan oleh KKM dalam menguruskan situasi berkenaan sebarang langkah yang mungkin melibatkan sekolah.
Beliau berkata, setakat ini kementerian dimaklumkan keadaan adalah terkawal dan berada di bawah pemantauan ketat pihak berkuasa kesihatan.
“Setakat ini, kita berpandukan kepada saranan, pedoman dan nasihat daripada KKM.
“Jadi, saya berpegang kepada proses dan juga pedoman itu dan setakat ini kami dimaklumkan ia terkawal di bawah pantauan ketat oleh KKM.
“Kami akan ikut semua arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya ketika ditanya sama ada KPM akan melaksanakan saringan di sekolah.
Terdahulu, beliau menghadiri pelancaran Festival Nibong Tebal yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan murid di daerah Kota Tinggi disahkan menghidapi kluster tuberkulosis atau tibi hasil daripada saringan kontak rapat, yang terdiri daripada empat murid lelaki dan dua murid perempuan.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, setakat ini tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan penularan wabak berkenaan.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga 4 Februari lalu.
Dzulkefly berkata, satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment