NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hamzah dicabar jelaskan dakwaan ‘sabotaj dalaman’ Bersatu



KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin diminta tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan yang disifatkan melemahkan kepimpinan parti ketika ia sedang siap siaga berdepan kerajaan Madani.

Dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Jasri Jamaludin dan Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, tindakan segelintir pemimpin yang terus menyerang kepimpinan parti bukan sahaja memalukan tetapi juga menimbulkan syak wasangka dalam kalangan ahli.

Tambahnya, serangan dalaman ketika ahli diminta bersatu padu menimbulkan persoalan terhadap motif sebenar gerakan berkenaan, apatah lagi apabila nama Hamzah sering dikaitkan dengannya.

“Jika benar beliau tidak terlibat, maka beliau wajib tampil menafikan secara tegas dan menghentikan sebarang usaha yang mencalar kestabilan parti.

“Namun jika benar wujud perancangan tersusun untuk melemahkan kepimpinan Presiden, maka itu bukan lagi perbezaan pandangan, itu adalah sabotaj dalaman,” kata kedua-dua pemimpin Bersatu itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan ADUN Kuala Sentul dan ADUN Lepar itu dibuat susulan laporan media bahawa Hamzah didakwa akan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti bagi membantu siasatan berhubung kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta dakwaan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pembangkang itu dijadual memberi keterangan pada Khamis ini, jam 12 tengah hari di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Mereka turut menegaskan sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran Perlembagaan parti, tindakan tegas patut diambil bagi mejaga integriti Bersatu.

“Malah, jika benar prinsip parti telah dicabuli, beliau sendiri wajar menyerahkan mandat dan bersedia dipecat demi memelihara integriti Bersatu.

“Tiada siapa lebih besar daripada parti. Tiada jawatan kebal daripada tindakan. Bersatu tidak boleh bertolak ansur dengan politik bayang-bayang, percaturan tersembunyi dan gerakan yang melemahkan parti dari dalam.

“Jika ini benar berlaku, maka itulah bentuk pengkhianatan sebenar terhadap perjuangan dan ahli,” tambah kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, ini kali kedua Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin selepas empat aduan bertulis dikemukakan terhadapnya pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu, termasuk dakwaan gagal mengekang kenyataan menyerang Muhyiddin, rundingan tanpa mandat parti serta isu perancangan mengumpul Akuan Bersumpah (SD). — MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo