KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan yakin kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin Yassin mampu membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada krisis dalaman yang sedang melanda parti itu.
Menurutnya, krisis dan perbezaan pandangan dalam parti politik bukan perkara luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada proses kematangan organisasi.
“Setiap parti politik pernah melalui fasa sukar. UMNO pernah berdepan krisis besar pada 1987, Pas juga pernah mengalami perpecahan dalaman sebelum kembali stabil. Bersatu kini melalui situasi yang sama,” katanya hari ini.
Sanjeevan berkata, perbezaan pandangan, percaturan strategi dan dinamika dalaman adalah realiti dalam sebuah parti yang aktif dan sedang berkembang.
Namun katanya, perkara paling penting ialah bagaimana kepimpinan menangani situasi tersebut secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Konflik bukan ukuran kelemahan sesebuah parti. Yang penting ialah pendekatan untuk menyelesaikannya dengan kebijaksanaan, kesabaran dan kesetiaan kepada perjuangan asal,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, pengalaman luas Muhyiddin yang pernah menjawat jawatan nombor satu negara dalam pentadbiran kerajaan dan politik negara menjadi kekuatan utama dalam memastikan Bersatu terus kekal relevan.
“Dengan pengalaman yang dimiliki Tan Sri, saya yakin beliau mampu memimpin parti ini keluar daripada ujian semasa dan membina semula kekuatan organisasi.
“Krisis yang berlaku ketika ini juga perlu dilihat sebagai peluang untuk melakukan penambahbaikan terhadap struktur dan hala tuju parti.
“Kita perlu belajar daripada kelemahan, memperbaiki kekurangan dan memperkukuh semula perpaduan dalaman,” katanya.
Beliau turut menyeru semua ahli dan pemimpin Bersatu supaya mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi atau kelompok.
“Kesetiaan kepada parti dan perjuangan perlu didahulukan. Perbezaan pendapat tidak seharusnya membawa kepada perpecahan,” katanya.
Sanjeevan berkata, kestabilan dalaman parti penting bagi memastikan Bersatu terus memainkan peranan sebagai suara rakyat dan pembangkang yang berwibawa.
“Rakyat menilai kita bukan sahaja melalui kenyataan, tetapi melalui tindakan dan keupayaan kita mengurus perbezaan secara matang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan krisis tidak seharusnya dilihat sebagai penamat kepada perjuangan politik Bersatu.
“Krisis bukan noktah. Ia adalah sebahagian daripada proses membina kekuatan. Dari situlah lahir kepimpinan yang lebih matang dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Bersekutu Bersatu berkata, parti itu perlu terus fokus kepada agenda rakyat dan tidak terperangkap dalam polemik dalaman yang berpanjangan.
“Kita perlu mara ke hadapan dan memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, kebajikan rakyat dan masa depan negara,” katanya.
Sanjeevan turut menyuarakan keyakinan bahawa Bersatu mampu kembali bangkit sekiranya semua pihak bersedia bekerjasama dan menyokong kepimpinan sedia ada.
“Dalam politik, mereka yang mampu bertahan selepas ujian besar ialah mereka yang benar-benar layak memimpin,” tegasnya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment