NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis tidak ada kuasa halang perhimpunan aman – PPMM



BANGI, 19 SYAABAN – Polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan, menghalang atau tidak membenarkan perhimpunan aman selagi perhimpunan tersebut dijalankan secara aman dan tanpa senjata.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, itu adalah menurut undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, hak untuk berhimpun secara aman dijamin secara nyata di bawah Perkara 10(1)(b) yang memperuntukkan setiap warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Katanya, hak itu adalah hak asasi uang hanya boleh dikenakan sekatan yang sah, munasabah dan selaras dengan Perlembagaan.

“Dalam hal ini, Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri Abd Hadi v Pendakwa Raya telah menegaskan dengan jelas bahawa hak berhimpun secara aman bukan suatu keistimewaan yang tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa, sebaliknya merupakan hak Perlembagaan yang wajib dihormati dan dilindungi.

“Mahkamah Persekutuaqn juga telah memutuskan bahawa peruntukan undang-undang yang bersifat menghukum atau menjenayahkan kegagalan memberi notis perhimpunan adalah tidak berperlembagaan.

“Keputusan ini menegaskan bahawa keperluan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh ditafsir sebagai kuasa untuk melarang perhimpunan, apatah lagi menjadikannya tidak sah secara automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hisham berkata, alasan kononnya terdapat bantahan daripada para peniaga sekitar kawasan perhimpunan juga bukanlah alasan yang sah untuk melarang sesuatu perhimpunan aman. 

Padaa 2016, katanya, pernah ada satu kes difailkan Persatuan Peniaga Bazaar Masjid untuk menghalang perhimpunan yang hendak diadakan di sana, tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“Oleh yang demikian, sebarang kenyataan bahawa sesuatu perhimpunan aman adalah ‘tidak dibenarkan’ adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.

“PPMM menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab polis bukanlah untuk menghalang perhimpunan tetapi memudahcara pelaksanan hak berhimpun secara aman, menjaga keselamatan peserta dan memastikan ketenteraman awam tanpa menafikan hak Perlembagaan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, pendekatan yang bersifat melarang, menakut-nakutkan atau mengugut penganjur dan peserta perhimpunan aman bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi berperlembagaan.

Pada masa sama, PPMM menggesa pihak polis supaya mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan, serta mengambil pendekatan yang selari dengan prinsip hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo