NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pas Pulau Pinang desak TKM 1 letak jawatan



GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang mendesak Timbalan Ketua Menteri I (TKM I), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meletakkan jawatan serta-merta daripada semua jawatan berkaitan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam di negeri ini.

Desakan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan susulan dakwaan amalan kronisme, nepotisme dan salah guna kuasa yang didakwa menjejaskan amanah umat Islam termasuk pengurusan dana zakat dan wakaf bernilai jutaan ringgit.

Menurut beliau, dakwaan berkenaan turut mencemarkan integriti, ketelusan serta maruah institusi agama yang sepatutnya diurus secara profesional, adil dan bertanggungjawab.

“Pendedahan demi pendedahan yang dibangkitkan melibatkan pengurusan institusi agama Islam di negeri ini, khususnya yang berada di bawah seliaan TKM I yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP),” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Pada Ahad, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa individu berkaitan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Menurut Karunanithy, pihaknya akan merakamkan keterangan individu terlibat dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.

Dalam pada itu, Muhammad Fawwaz berkata, isu berkenaan tidak boleh dianggap remeh atau sekadar masalah pentadbiran kerana ia membabitkan amanah besar umat Islam serta pengurusan dana awam yang sepatutnya dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan.

“Amalan pelantikan individu tertentu berdasarkan hubungan kepentingan, penguasaan melampau dalam membuat keputusan serta kegagalan memastikan tadbir urus yang adil dan telus jelas mencerminkan kepimpinan yang tidak beramanah,” katanya lagi.

Ujar beliau, keadaan itu bukan sahaja mencemarkan imej Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang mengharapkan institusi agama diurus secara profesional, bebas dan bertanggungjawab.

“Tindakan berundur daripada jawatan berkaitan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam merupakan langkah paling wajar bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memberi laluan kepada siasatan yang telus tanpa sebarang pengaruh kuasa.

“Institusi agama Islam tidak boleh dijadikan alat kepentingan peribadi atau politik. Amanah umat Islam wajib dipelihara dan sesiapa yang gagal menunaikannya dengan adil dan jujur tidak lagi layak memimpin,” katanya.

Muhammad Fawwaz berkata, Pas Pulau Pinang akan terus komited mempertahankan integriti institusi Islam dan memastikan pengurusan agama di negeri ini kembali kepada landasan amanah, keadilan dan ketakwaan.

Terdahulu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dibuat oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun lalu.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo