Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin menegaskan bahawa Islam merupakan agama yang suci dan mulia. Justeru, setiap istilah, simbol dan kalimah yang berkaitan dengannya hendaklah dihormati serta digunakan dengan penuh adab dan tanggungjawab. Kalimah-kalimah suci dalam Islam seperti ‘Alhamdulillah’, ‘bersyukur’, ‘sujud syukur’ dan seumpamanya bukan sekadar ungkapan budaya atau retorik, sebaliknya mempunyai makna akidah dan ibadah yang mendalam.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyatakan sokongan terhadap peringatan yang disuarakan oleh Dato’ Siti Zailah agar kalimah-kalimah suci Islam tidak digunakan secara sewenang-wenangnya, khususnya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Penggunaan tanpa kefahaman yang tepat dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham serta mencemar kesucian agama di mata masyarakat, termasuk dalam kalangan orang bukan Islam sendiri.
Kami juga mengambil maklum peringatan daripada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang menasihatkan agar kalimah Islam tidak dipergunakan secara sembarangan atau dalam bentuk gurauan yang boleh menjejaskan kesucian agama. Dalam masa yang sama, sebagaimana yang dinyatakan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, “Sekiranya seseorang menyebutnya bukan untuk bermain-main atau menghina, dan dia benar-benar bermaksud bersyukur kepada Allah, maka tidak menjadi masalah untuk dia menyebut Alhamdulillah.” Hal ini menunjukkan bahawa kefahaman, niat dan konteks amat penting dalam isu ini.
Dalam kerangka masyarakat majmuk seperti Malaysia, keharmonian dan sikap saling menghormati antara penganut agama merupakan asas penting kepada kestabilan negara. Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia berpandangan bahawa semua pemimpin, tanpa mengira latar belakang agama, wajar menunjukkan sensitiviti yang tinggi terhadap perkara yang menyentuh kepercayaan dan pegangan umat Islam, lebih-lebih lagi apabila kenyataan yang dikeluarkan berpotensi disalah tafsir oleh masyarakat.
Peringatan ini bukan bersifat diskriminasi, sebaliknya merupakan satu usaha bertanggungjawab dalam menjaga adab, kejelasan akidah serta keharmonian hubungan antara agama. Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa agar semua pihak, khususnya pemimpin kerajaan, lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak menimbulkan keresahan rakyat atau mengganggu keharmonian sosial.
Dewan Muslimat PAS Malaysia kekal komited untuk mempertahankan kesucian Islam melalui pendekatan yang berhikmah, beradab serta berlandaskan semangat muafakat. Kami juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa menghormati agama orang lain sebagaimana kita mengharapkan agama kita dihormati.
USTAZAH NURIDAH SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) – HARAKAHDAILY 7/2/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment