KUALA LUMPUR – Orang Melayu dan rakyat Malaysia memahami satu realiti yang pahit iaitu UMNO hari ini tidak mampu hidup tanpa kuasa.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, UMNO memerlukan jawatan dalam Kabinet, agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk kelangsungan politik parti itu.
Dakwanya, jawatan menjadi nadi untuk dana, pengaruh dan platform mendekati rakyat dan ia merupakan hakikat yang semakin sukar disembunyikan oleh UMNO.
Disebabkan itu wujud percanggahan jelas apabila pemimpin UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 dengan tegas menyatakan parti itu tidak pernah bersama DAP.
Tetapi dalam masa sama, tambahnya, parti itu mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang teras utamanya ialah DAP.
Lebih membingungkan perbezaan ketara antara ucapan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu menyerang DAP habis-habisan dengan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu memastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga ke akhir penggal.
“Dua nada yang bercanggah ini mencerminkan krisis prinsip yang mendalam.
“Kepada mereka yang berfikir secara rasional, keadaan ini hanya boleh dirumuskan sebagai politik yang tidak lagi berpaksikan kejujuran,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Haim Hilman, PAU sepatutnya menjadi medan kebangkitan semangat perjuangan namun ia bertukar menjadi medan meluahkan marah-marah sayang, meratapi nasib tapi masih boleh tersenyum atau berjenaka dan tidak kurang juga saling memuji.
Sedangkan, ujarnya, kebangkitan daripada kejatuhan tidak boleh dibina atas senda gurau dan puji-pujian.
“Bangsa yang besar tidak bangkit dengan nostalgia, tetapi dengan keinsafan dan keberanian untuk berubah,” katanya.
Disebabkan itu, tambah Haim Hilman, jawapan terbaik dan jelas buat orang Melayu dalam menyatakan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) adalah kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Mengakui Pas dan PN juga berdepan cabaran tersendiri namun katanya, dalam kekeliruan politik hari ini, Pas tampil sebagai parti yang paling konsisten membawa iltizam membina Malaysia baharu yang lebih bersih dan bermaruah.
Ujarnya, walaupun Malaysia belum pernah dipimpin oleh Perdana Menteri dan menteri kanan daripada Pas, ketiadaan sejarah itu tidak bermakna Pas tidak mempunyai tokoh yang layak.
Jelas beliau, kepimpinan bukan soal warisan kuasa, tetapi soal keupayaan, integriti dan keberanian memimpin dengan amanah.
“Keistimewaan Pas terletak pada gabungan ulama dan profesional dalam satu saf perjuangan.
“Perpaduan antara kekuatan moral dan kecekapan pentadbiran ini menjadikan PAS sebuah parti yang seimbang — berprinsip tetapi praktikal, berakhlak tetapi berdaya saing.
“Inilah kombinasi kepimpinan masa depan yang amat diperlukan oleh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment