KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan berhubung kewujudan `Team A’ dan `Team B’ di dalam DAP sekiranya ia menyinggung pemimpin parti berkenaan.
Menurutnya, apa yang dimaksudkan berhubung perkara itu adalah bagi menjelaskan terdapat kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap isu yang dibangkitkan Pemuda UMNO sebelum ini.
“Jadi itu cuma satu gambaran, bukan satu keabsahan kewujudan team (kumpulan) dalam DAP.
“Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu.
“Tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan terdapat atau wujud dua kem dalam DAP, cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, apa yang dibangkitkan beliau itu turut disentuh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam ucapan masing-masing pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Jelasnya, ia berkaitan keadaan yang mana UMNO tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP terutama apabila ia bukan pendirian rasmi parti tersebut.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini menafikan wujud `Team A’ dan ‘Team B‘ di dalam parti itu, selain menegaskan adalah tidak logik untuk beliau mendedahkan perkara berkaitan dalaman partinya kepada pihak luar.
Anthony Loke berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan Ahmad Zahid ketika ucapan penangguhan PAU 2025 semalam yang mendakwa, kenyataan bertentangan yang dikeluarkan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada ‘Team B‘.
Seperti dilaporkan media semalam, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkara tersebut dimaklumkan sendiri kepada beliau oleh Anthony Loke.
“Betul (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, (Timbalan Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa… yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP.
“Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya (Anthony Loke),” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment