SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa supaya Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) diadakan dengan segera bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(i)(b) Perlembagaan gabungan berkenaan.
Abdul Hadi berkata, keperluan itu merujuk kepada proses penerimaan dan pengesahan peletakan jawatan Pengerusi PN serta pelantikan calon baharu bagi jawatan tersebut.
“Adalah diharapkan perkara ini dapat diambil perhatian dan diberikan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah melebihi 10 hari.
“Justeru, bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, saya sebagai Timbalan Pengerusi PN berpandangan bahawa suatu panggilan Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN hendaklah disegerakan.
“Ia bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(i)(b) Perlembagaan PN, iaitu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN serta melantik Pengerusi PN yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa, dengan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
Menurut Abdul Hadi, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada Muhyiddin yang bertarikh 30 Disember lalu.
Ahli Parlimen Marang itu turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin atas sumbangan serta jasa beliau dalam menerajui PN sejak penubuhannya.
“Di pihak Pas, kami menghormati dan menerima keputusan yang diambil oleh Muhyiddin, serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang menerajui PN dalam tempoh sebelum ini,” ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment