NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadangan tukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane wajib ditolak – Pemuda ISMA



BANGI, 1 SYAABAN – Cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih di Butterworth, Pulau Pinang kepada “Dragon Temple Lane” adalah jumud dan wajib ditolak secara tegas. 

Lebih membimbangkan, cadangan itu masih berlindung di sebalik alasan cliche “dalam penelitian”, seolah-olah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak sedar implikasi ideologi dan sejarah di sebalik penamaan awam.

Ketua Setiausaha Pemuda ISMA, Muhammad Firdaus Mohd Sani berkata Jalan Pantai Bersih sudah pun berakar pada sejarah tempatan, budaya orang laut dan bahasa Melayu. 

“Menggantikannya dengan nama seperti “Dragon Temple Lane” bukan sahaja tidak perlu, malah mencerminkan kegagalan memahami prinsip asas dekolonisasi. 

“Tambahan lagi, mengukuhkan satu mesej berbahaya, bahawa identiti tempatan boleh digantikan dengan simbol-simbol asing yang lebih ‘komersial’ atau ‘menarik pelancong’,” katanya dalam kenyataan. 

Muhammad Firdaus berkata, isu berkenaan bukan isu teknikal tetapi tentang siapa yang berhak menentukan wajah dan identiti Pulau Pinang.

“Jalan Pantai Bersih sudah pun berakar pada sejarah tempatan, budaya orang laut dan bahasa Melayu. 

“Pulau Pinang bukan tanah jajahan yang masih memerlukan validasi luar. Tetapi, mempunyai sejarah Melayu yang sah dan berdaulat. 

“Namun, yang berlaku hari ini ialah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat lebih cenderung melayan sensitiviti pasaran dan tekanan simbolik, berbanding mempertahankan identiti sejarah negeri sendiri,” katanya. 

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus menjelaskan hal seperti itu tidak patut berlaku dengan membiarkan nama-nama penjajah, atau yang senada dengannya, terus mendominasi ruang awam. 

“Dekolonisasi menuntut ketegasan. Nama-nama asing, kolonial dan tidak berakar kepada sejarah tempatan perlu diganti dengan nama Melayu yang mencerminkan identiti negara ini.

“Dalam konteks ini, usaha Pemuda ISMA wajar diangkat sebagai contoh keberanian intelektual dan kesedaran sejarah.

“Melalui kempen Tukar Nama Asal, Pemuda ISMA telah mencadangkan pengembalian nama-nama yang lebih berakar pada identiti tempatan, antaranya Port Dickson kepada Pantai Dermaga, Bukit St Paul kepada Bukit Melaka serta Georgetown kepada Tanjung,” katanya. 

Mohd Firdaus berkata, cadangan-cadangan itu tidak memadam sejarah, sebaliknya membetulkan naratif, iaitu inti pati dekolonisasi yang sebenar memulihkan apa yang telah dipinggirkan, bukan mencipta simbol baharu yang terpisah daripada akar negeri.

Katanya lagi, lebih memalukan isu itu juga mendedahkan sikap selektif kerajaan negeri dalam soal identiti. 

“Apabila melibatkan projek pembangunan, penjenamaan dan pelaburan, nama asing diberi keutamaan. Namun apabila diminta memartabatkan Bahasa Melayu dan sejarah tempatan, alasan birokrasi pula yang dikemukakan.

“Hakikatnya jelas, semua nama jalan dan projek-projek pembangunan mesti menggunakan Bahasa Melayu. 

“Ini bukan tuntutan ekstrem. Tetapi, tuntutan Perlembagaan dan maruah negara. 

“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa sejarah dan bahasa pentadbiran. Mengabaikannya dalam penamaan awam adalah satu bentuk penjajahan minda yang masih berterusan,” tegasnya.


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo