PETALING JAYA, 6 Mac – Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka mengumumkan kadar dividen yang kompetitif bagi tahun kewangan 2025, dengan anggaran sekitar 3.0 peratus hingga 3.5 peratus, bergantung kepada prestasi pelaburan sepanjang tahun tersebut.
Profesor Madya di iCATS University College, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, jangkaan itu selari dengan pendekatan pelaburan TH yang secara tradisinya bersifat konservatif dan berhemat.
Menurut beliau, institusi berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada memaksimumkan pulangan, malah memastikan pelaburan kekal selamat, stabil dan patuh syariah demi melindungi kepentingan jutaan pendeposit dalam jangka panjang.
“Prestasi pasaran kewangan serta saham syarikat yang tersenarai dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI turut memberi kesan langsung kepada pulangan portfolio ekuiti TH.
“Selain itu, pendapatan daripada sektor hartanah dan pelaburan luar negara turut menyumbang kepada aliran pendapatan yang stabil,” katanya.
Beliau menambah, pelaburan dalam sukuk dan instrumen patuh syariah juga menjadi sumber pulangan penting, terutama ketika kadar keuntungan global masih berada pada paras agak tinggi.
Ekonomi Malaysia Sokong Prestasi Pelaburan
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata dividen TH berpotensi melebihi kadar 3.25 peratus yang dicatatkan tahun lalu.
Menurutnya, ini disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh pada 2025 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 5.2 peratus, lebih tinggi daripada jangkaan awal 4.8 peratus serta melepasi pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024.
Namun begitu, beliau menjangkakan pulangan dividen kekal sederhana kerana prestasi Bursa Malaysia hanya menunjukkan peningkatan ketara pada suku keempat 2025.
Katanya, pelaburan TH merangkumi pelbagai instrumen patuh syariah termasuk sukuk kerajaan, sektor hartanah dan simpanan tetap.
Selain itu, pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang 2025 turut menyebabkan pulangan daripada simpanan tetap tidak melonjak secara signifikan.
Rekod Dividen Tahun Lalu
Untuk rekod, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, yang merupakan kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Agihan tersebut melibatkan jumlah pembayaran RM2.92 bilion, meningkat berbanding RM2.72 bilion pada 2023, selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta.
Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan TH akan kekal berhati-hati dalam strategi pelaburan bagi 2026, khususnya susulan ketidaktentuan geopolitik global termasuk pergolakan di Timur Tengah.
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment