BANGI, 1 SYAABAN – Sesi persekolahan Tahun Satu untuk kanak-kanak bermula usia enam tahun bukan bersifat wajib.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia hanya membabitkan ibu bapa serta anak yang benar-benar bersedia.
Menurutnya, aspek kesediaan psikologi dan emosi kanak-kanak menjadi keutamaan kerajaan yang penting bagi mengelakkan sebarang impak negatif kepada perkembangan awal kanak-kanak.
“Kita galakkan hanya kepada ibu bapa yang bersedia, yang paling penting anak itu sendiri mesti bersedia. Kalau anak tidak bersedia dari segi psiko emosi, kita tidak mahu ada impak kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.
Ketika menyempurnakan majlis itu, Perdana Menteri berkata, perubahan itu belum diwajibkan kepada ibu bapa bagi memberi ruang pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baharu pendidikan, khususnya warga pendidik.
“Maknanya mulai tahun depan, kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang rasa anak-anaknya belum bersedia, (maka) kita tetapkan masih boleh masuk Tahun Satu (pada usia) tujuh tahun.
“Tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia daripada sekarang, supaya anak-anak umur lima tahun masuk prasekolah. Prasekolah sekarang ini kita beri tumpuan, seluruh sistem prasekolah itu kita sudah minta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ambil alih dan selaraskan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, persiapan segera perlu dilakukan KPM dalam menerima perubahan kepada sistem baharu pendidikan negara.
Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM akan mengumumkan garis masa pelaksanaan berkenaan bagi membolehkan ibu bapa membuat keputusan dengan lebih teliti.
“Ibu bapa berbincang sebaiknya, buat keputusan dengan tenang dan melihat kesediaan anak. Apabila kita ada data yang jelas, persiapan boleh dibuat dengan lebih teratur,” katanya.
Mengenai kemungkinan berlaku lambakan murid dan isu prasarana sekolah, katanya pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dengan mendahulukan kanak-kanak yang benar-benar bersedia.
“Penyelesaiannya ialah kita mulakan dengan yang bersedia dahulu. Daripada data yang kita kumpul, barulah kita boleh susun persiapan termasuk prasarana,” katanya.
Beliau menjelaskan, kohort sedia ada murid berusia tujuh tahun akan diteruskan seperti biasa, manakala penambahan murid enam tahun ke Tahun Satu akan dibuat berdasarkan data dan kesiapsiagaan sekolah.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment