KUALA LUMPUR – Beberapa sumber mendedahkan proses rombakan Kabinet semakin hampir dimuktamadkan dengan beberapa petunjuk awal.
Bermula esok, difahamkan majlis angkat sumpah beberapa menteri yang dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
Menurut sumber, antara yang dijadual mengangkat sumpah pada sesi pagi adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Sumber sama tidak menolak kemungkinan wujudnya satu lagi nama tambahan.
“Mungkin juga ada seorang lagi yang angkat sumpah iaitu Khairy Jamaluddin namun itu masih samar-samar,” katanya merujuk kepada bekas Menteri Kesihatan itu yang disebut-sebut kembali ke pentas pentadbiran kerajaan.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sumber menjelaskan, rombakan kali ini bukan melibatkan perubahan besar-besaran.
“Seperti PMX cakap hari ini, tidak ada apa-apa rombakan besar sebaliknya isi tempat yang telah dikosongkan. Besar kemungkinan hari Rabu anda akan tahu,” ujarnya kepada MalaysiaGazette.
Antara pembaharuan paling ketara dikatakan melibatkan penggabungan Kementerian Ekonomi kembali di bawah Kementerian Kewangan, menjadikan struktur itu berfungsi semula seperti Unit Perancang Ekonomi pada era terdahulu.
Sumber turut menyatakan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang tamat penggal sebagai senator bakal diserap masuk untuk menerajui jabatan baharu tersebut sebagai Penasihat Ekonomi Kanan Kerajaan.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan rombakan Kabinet pada awal Disember, yang dikatakan akan menjadi antara penyusunan semula paling signifikan sejak penubuhan kerajaan Madani dengan fokus kepada pengukuhan pasukan ekonomi, pengurangan saiz Kabinet serta kesinambungan khidmat menteri-menteri sedia ada.
Hari ini, Anwar sudah memberikan bayangan beliau tidak akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran sebaliknya hanya akan mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri.
Ini kerana kata beliau tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun sahaja lagi sebelum penggal pentadbiran itu berakhir. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment