NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rakyat Diminta Bantah Pelantikan Ahmad Terrirudin ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

KUALA LUMPUR, 1 Disember — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa rakyat Malaysia menyatakan bantahan terhadap pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi tempoh dua tahun bermula 15 November 2025 hingga 14 November 2027.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata pelantikan yang telah diwartakan kerajaan itu kembali mencetuskan krisis kepercayaan terhadap institusi kehakiman, khususnya berhubung kontroversi lampau yang pernah dikaitkan dengan bekas Peguam Cara Negara itu.

Menurut Tun Faisal, Terrirudin sebelum ini berdepan pertikaian besar ketika dicalonkan sebagai Hakim Besar Malaya, selepas tular dokumen yang didakwa minit mesyuarat JAC. Dokumen itu mengaitkan beliau dengan dakwaan cuba mempengaruhi keputusan kehakiman, menukar hakim serta memberi tekanan kepada Ketua Hakim Negara ketika itu. Rekod penghakimannya turut menjadi bahan perbahasan dalam kalangan pengamal undang-undang.

Beliau juga mengaitkan Terrirudin dengan beberapa isu berprofil tinggi termasuk kontroversi Titah Adendum melibatkan tahanan Datuk Seri Najib Razak serta peranan beliau dalam permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tun Faisal berkata pelantikan itu sekali lagi mengundang persoalan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan PM10 masih mempunyai kes mahkamah yang belum diselesaikan, selain memiliki kuasa melantik lima daripada sembilan anggota JAC.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai tahap kebebasan institusi kehakiman,” katanya sambil menyebut laporan bahawa beberapa pihak termasuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Majlis Peguam dan ahli politik kerajaan turut melahirkan kebimbangan terhadap pelantikan itu.

Beliau turut mengaitkan pelantikan tersebut dengan kegelisahan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan, terutama selepas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes melibatkan ahli perniagaan Albert Tei, dakwaan berkaitan rakaman audio pemimpin GRS serta isu pendakwaan berprofil tinggi yang disifatkan sebagai memilih.

Tun Faisal berpendapat gabungan pelbagai krisis ini akhirnya membentuk “krisis keyakinan menyeluruh” terhadap pentadbiran PM10, termasuk dalam aspek ekonomi, kos sara hidup, hutang negara dan kesan Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART).

Sehubungan itu, Bersatu menuntut dua tindakan utama:

  1. Pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC ditarik balik serta-merta.
  2. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan bagi memulihkan keyakinan terhadap institusi negara.

Kenyataan tersebut dimuatnaik di Facebook milik Tun Faisal hari ini.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo