NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Abdul Hadi: Unsur penyelewengan dan tuntutan jawatan punca krisis politik Perlis

MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa krisis politik yang melanda Perlis berpunca daripada tekanan supaya projek-projek berskala besar diluluskan tanpa mematuhi peraturan, selain wujud unsur penyelewengan dan rasuah.

Menurut beliau, tekanan tersebut menyebabkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, tidak dapat memenuhi tuntutan pihak tertentu kerana enggan terlibat dalam perbuatan yang bercanggah dengan peraturan dan integriti pentadbiran.

Abdul Hadi berkata, keengganan Mohd Shukri untuk tunduk kepada tekanan itu mengakibatkan beliau berada dalam keadaan terzalimi, walaupun pentadbirannya diterima rakyat dan dilihat memerintah dengan adil serta berintegriti.

“Bukan beliau yang menzalimi, sebaliknya beliau dizalimi kerana mempertahankan prinsip,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Sebelum ini, kemelut politik di Perlis tercetus apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Shukri. Mereka terdiri daripada tiga ADUN Pas dan lima ADUN Bersatu, yang dilaporkan telah menandatangani akuan bersumpah (SD) dan mengemukakannya kepada Istana Perlis.

Pada Khamis, Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menyifatkan tuntutan jawatan oleh segelintir pihak sebagai antara punca krisis, sambil menegaskan bahawa dalam Pas dan ajaran Islam, jawatan merupakan amanah yang tidak wajar diberikan kepada individu yang memintanya, walaupun berkelayakan.

“Pengalaman lalu menunjukkan perebutan jawatan sering mencetuskan perpecahan dan pengkhianatan, sekali gus melemahkan kestabilan pentadbiran serta keutuhan parti,” katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo