NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib disabitkan bersalah empat kes rasuah dana 1MDB RM2.3 bilion

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion antara tahun 2011 hingga 2014.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, kini Hakim Mahkamah Persekutuan, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Hakim memulakan pembacaan keputusan pada jam 9.13 pagi sebelum prosiding bersambung selepas solat Jumaat pada jam 3.02 petang. Beliau berpuas hati bahawa keempat-empat pertuduhan adalah jelas, tidak bertindih dan tidak menimbulkan sebarang prejudis terhadap tertuduh.

Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa pertuduhan yang dikemukakan bersifat kabur dan menyukarkan Najib menyediakan pembelaan, sebaliknya memutuskan tiada kecacatan pada pertuduhan berkenaan.

“Setelah meneliti afidavit, hujahan bertulis serta mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan.

Prosiding kemudian diteruskan dengan pembacaan keputusan bagi 21 lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM2.3 bilion, yang bermula pada jam 4.11 petang.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib bersama beberapa pegawai pendakwaan lain, manakala Najib diwakili pasukan peguam termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Tania Scivetti.

Najib, 72, didakwa melakukan kesalahan rasuah di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014. Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, kesalahan didakwa berlaku di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan rasuah dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta AMLATFA, yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo