Menurut beliau, keputusan itu membuktikan bahawa jawatan dan kedudukan bukanlah sesuatu yang harus dipegang demi kemegahan, sebaliknya merupakan amanah besar yang akan dipersoalkan kelak.
“Cikgu Shukri tidak meminta atau melobi untuk memegang jawatan tersebut, sebaliknya memikul beban kepimpinan yang amat berat dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Nassuruddin berkata, tindakan Mohd Shukri melepaskan jawatan menunjukkan keikhlasan dan keinsafan seorang pemimpin yang mendahulukan prinsip berbanding kedudukan.
“Terima kasih kerana mengajar kami erti jiwa besar dalam menghadapi gelombang ujian. Ini adalah contoh kepimpinan berteraskan nilai dan amanah,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa perpisahan dalam jawatan dan pangkat tidak memutuskan hubungan persahabatan serta perjuangan dalam jemaah yang sama.
“Kita dipisahkan oleh kedudukan, namun persahabatan dan kesetiaan dalam perjuangan kekal utuh. Bertemu dan berpisah kerana jalan-Nya,” katanya.
Mohd Nassuruddin turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan jawatan boleh mengundang kehinaan di sisi Allah, justeru setiap amanah yang diberikan perlu ditunaikan dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, yang dibuat dalam satu sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis.

No comments
Post a Comment