NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rayuan Terakhir Buat Pengundi Sabah : ‘TOLAK POLITIK MENINDAS’

KOTA KINABALU, 28 Nov — Pengerusi LESTARI merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor menyeru para pengundi Sabah untuk membuat pilihan berasaskan integriti dan maruah pada hari pengundian 29 November ini, sambil mendakwa wujudnya penyalahgunaan jentera kerajaan dan budaya sogokan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang hari akhir kempen, beliau menyifatkan PRN kali ini sebagai “paling getir dalam sejarah Sabah” dengan pelbagai taktik tekanan halus, sogokan dan rasuah politik membelenggu pengundi.

Dr Riduan mendakwa pemimpin kerajaan pusat menggunakan kedudukan mereka untuk memberi amaran kepada rakyat agar memilih parti yang sehaluan dengan Putrajaya, termasuk kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang menyebut kemungkinan wujudnya “hubungan dingin” antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan jika keputusan PRN tidak memihak kerajaan pusat.

“Ini naratif yang dibawa dalam kempen mereka, ditambah lagi dengan sumbangan yang diberi secara terbuka, berlatarbelakangkan jata negara,” katanya sambil menuduh gabungan kerajaan hari ini mengulangi budaya BN dan menambah elemen yang “lebih rakus” dalam pentadbiran.

Beliau turut merujuk kontroversi membabitkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri yang menurutnya menjejaskan imej pentadbiran pusat, selain menggambarkan kerajaan sebagai gagal mengurus isu yang dibangkitkan rakyat dalam tempoh tiga tahun pemerintahan.

Menurut Dr Riduan, kedudukan Sabah sebagai pengasas Persekutuan Malaysia seharusnya dihormati, namun beliau mendakwa terdapat kecenderungan kerajaan pusat untuk “membuli negeri” dan meremehkan kedudukan Sabah dalam entiti persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah menolak calon yang didakwanya bermasalah, terpalit isu integriti atau hanya muncul pada musim pilihan raya.

“Negeri ini kaya, tetapi masih ramai rakyat hidup dalam kemiskinan. Jalan luar bandar teruk, isu air tidak selesai, dan rakyat perlu memilih pemimpin yang benar-benar bekerja untuk mereka,” katanya.

Dr Riduan turut menegaskan bahawa PN menawarkan calon berkelayakan serta berintegriti dalam beberapa kawasan seperti Datuk Dr Aliakbar Gulasan (Karambunai), Dr Afifi Saif (Petagas), Ahmad Dullah (Tanjung Batu), Dr Munzier Mahamud (Balung), Hassan Haris (Merotai) dan Kasman Karate (Kunak).

Dalam kenyataan itu, beliau juga mendakwa wujudnya usaha pada saat akhir untuk merasuah pengundi dengan barangan bernilai kecil, sambil menekankan bahawa masa depan negeri tidak boleh ditentukan oleh “harga diri yang disamakan dengan tangki air biru atau wang kertas beberapa ratus ringgit”.

Beliau menambah bahawa kegagalan pembangunan Sabah berpunca daripada kelemahan pengurusan kerajaan pusat dan negeri, selain budaya korup, kronisme dan nepotisme.

PRN Sabah akan berlangsung pada 29 November dengan puluhan kerusi dipertandingkan oleh gabungan utama termasuk GRS, Warisan, BN, PH serta Perikatan Nasional.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo