NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dari Jeriji Besi ke Pentas Konvokesyen: Kisah Tahanan Alor Setar Menjadi Graduan

𝙆𝙄𝙎𝘼𝙃 𝙏𝙄𝙂𝘼 𝙏𝘼𝙃𝙐𝙉 𝘿𝙄 𝙋𝙀𝙉𝙅𝘼𝙍𝘼 𝘼𝙇𝙊𝙍 𝙎𝙀𝙏𝘼𝙍, 𝘿𝙄𝙏𝙄𝙉𝙂𝙂𝘼𝙇 𝙄𝙎𝙏𝙀𝙍𝙄, 𝙃𝘼𝙍𝙄 𝙄𝙉𝙄 𝙂𝙀𝙉𝙂𝙂𝘼𝙈 𝙄𝙅𝘼𝙕𝘼𝙃 𝙎𝘼𝙍𝙅𝘼𝙉𝘼

Tidak pernah terlintas walau sekelumit dalam fikirannya bahawa suatu hari dia akan menghuni penjara. Selama tiga tahun di Penjara Alor Setar.

Semuanya bermula pada 20 Jun 2022. 

Hari itu, segalanya gelap. Dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 – SOSMA.

Sehari demi sehari berlalu seolah-olah jarum jam berhenti bergerak, dan burung di angkasa turut berhenti untuk terbang.  

Tiada jaminan. Tiada kebebasan.  Hanya tembok besi dan sunyi  menemani.

Beliau merupakan seorang anggota keselamatan, berkhidmat dalam bahagian perisikan. Pakaian seragam yang dulunya melambangkan maruah dan disiplin, bertukar menjadi baju ungu tahanan.

Selama tiga tahun beliau menjadi tahanan reman, menunggu penghakiman yang tidak pasti.

Usianya kini 35 tahun. Ketika ditahan, usianya baru mencecah 32 tahun. Masih muda, baru mendirikan rumah tangga. Seorang suami yang bertanggungjawab, yang mengimpikan landskap masa depan cerah. Namun takdir tidak seindah harapan.  

Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan secara tiba-tiba.

Dalam tahanan, gajinya turut ditahan. Dan di tengah kekalutan jiwa, hadir satu lagi ujian paling berat.

Isterinya memohon fasakh.

“Konflik keluarga, tekanan kewangan, dan akhirnya perceraian berlaku ketika saya di dalam penjara. Itu saat paling sukar dalam hidup saya. Jiwa saya hampir rebah. Tetapi di saat itulah saya sedar, luka yang disuluh dengan cahaya Tuhan tetap akan sembuh. 

“Tentunya Allah tidak menghukum saya. Dia sedang mendidik untuk saya  menjadi manusia yang baru,” ujarnya perlahan.

Beliau bertekad untuk bangkit semula walaupun tongkat yang dipegang hanyalah doa.

Dengan bantuan Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud dan Dr. Mazli Mutazam, serta keprihatinan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan kerjasama pihak Penjara Alor Setar khususnya Pengarah Penjara Alor setar, Suhairi Awang, beliau dibenarkan menyambung pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) dari dalam penjara.

Bayangkan, menulis tesis dalam sel sempit berukuran 8x15 kaki. Berlampu samar, tanpa kipas, tidur beralaskan pelapik getah setebal setengah inci.

Namun dari cahaya kecil di sebalik jeriji besi itulah, beliau mengumpulkan semangat untuk terus menulis dan membaca setiap hari.

“Saya menulis, membaca dan berdoa agar suatu hari nanti saya akan keluar, bukan hanya sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu itu kebebasan sebenar,” katanya.

Cabaran tetap ada. Ketiadaan internet, bahan bacaan terhad serta komunikasi yang sukar yang memungkinkan hanya kreativiti akan mengubah masalah kepada keindahan.
Pada 18 September 2024, tibalah hari yang dinantikan – hari viva.

“Saya berdiri di hadapan panel pemeriksa dengan berpakaian ungu tahanan. Tiada uniform anggota, tiada tali leher. 

Namun saya punya sesuatu yang mereka di luar tidak punya, keyakinan bahawa ilmu mampu membebaskan jiwa.

“Apabila pengerusi mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis. Hari itu saya tahu, Allah tidak pernah meninggalkan saya. 

“Hari itu juga saya diterima semula sebagai manusia, bukan tahanan penjara,” katanya dengan mata berkaca.

Tidak lama kemudian, berita tentang “Tahanan Penjara Alor Setar Lulus Viva” tular di media.

Dia tidak menyangka perjuangan sunyinya akan menjadi bualan masyarakat, namun jauh di sudut hati, dia berharap kisah ini membuka mata semua bahawa penjara bukanlah penamat hidup.

“Dan di sebalik semua ini, ada seorang insan yang tidak pernah jemu menyokong saya. Ibu saya. Beliau berjuang menyediakan apa sahaja agar saya boleh terus belajar.

“Beliau menangis, berdoa, dan percaya. Hari ini, beliaulah yang paling gembira melihat saya menggenggam segulung ijazah sarjana,” katanya lagi.
Hari ini, di Dewan Mu’adzam Shah, beliau melangkah ke pentas menerima ijazah daripada Pro-Canselor UUM, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Langkahnya bukan langkah malu, tetapi langkah syukur. Syukur atas peluang kedua yang dikurniakan.

“Saya rasakan dua kemenangan.  Pertama, dibebaskan dari tahanan penjara selepas mahkamah dapati tidak bersalah, pada 1 April 2025. Dan hari ini, kemenangan mengengam ijazah sarjana,” katanya.

Sekarang beliau mengerti makna kebebasan sebenar iaitu bukan bila pintu sel dibuka, tetapi bila minda tidak lagi dikurung oleh pandangan orang lain.

“Menjadi berbeza itu tidak selalu akan jadi yang terbaik, tetapi yang terbaik itu pasti berbeza dan sesungguhnya, menuju kejayaan kita akan pasti melalui jalan yang sepi, jalan berliku dan pastinya ia bukan jalan yang mudah, ” katanya menutup bicara.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada UUM, para pensyarah, pegawai penjara, keluarga besar Penjara Alor Setar dan yang paling utama, ibunya, yang tidak pernah berhenti percaya.

Kasih, kepercayaan dan ilmu telah mengubah seorang tahanan menjadi seorang graduan.

Masa depan tetap menjanjikan syurga buat sesiapa yang punyai keinginan untuk berubah.

UUM SINTOK, 10 NOV 2025: 
Wartawan: Kori Ariff
Foto: Fuad Stephan
#konvouum38

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo