NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label INSPIRASI. Show all posts
Showing posts with label INSPIRASI. Show all posts

Wajah Garang, Jiwa Dermawan: Kisah John Paul DeJoria Membuktikan Harapan Tidak Pernah Mati

Pada pandangan pertama, wajah John Paul DeJoria mungkin membuatkan ramai orang teragak-agak untuk mendekati. Berwajah keras, berjanggut putih, berpenampilan seperti watak mafia dalam filem Hollywood – itulah persepsi luaran yang sering dilekatkan kepadanya.

Namun di sebalik wajah yang menggerunkan itu, tersembunyi satu jiwa besar yang penuh empati, kesabaran dan kepercayaan bahawa manusia tidak ditentukan oleh permulaan hidupnya, tetapi oleh keteguhan hatinya.

Hari ini, John Paul DeJoria dikenali sebagai salah seorang bilionair terkenal Amerika Syarikat, pengasas bersama John Paul Mitchell Systems, empayar produk penjagaan rambut bertaraf global. Pada usia lebih 80 tahun, beliau bukan sekadar simbol kejayaan perniagaan, tetapi contoh hidup bahawa kegagalan, kemiskinan dan penolakan bukanlah penamat kehidupan.

Dilahirkan Dalam Kekurangan, Dibesarkan Dalam Cabaran

DeJoria dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Ibunya merupakan seorang ibu tunggal yang bergelut membesarkan anak-anak. Seawal usia sembilan tahun, DeJoria sudah belajar erti tanggungjawab apabila menjual kad Krismas dan surat khabar bersama adiknya demi membantu ibunya menyara keluarga.

Namun kemiskinan tetap menghimpit. Akhirnya, beliau dan adiknya terpaksa dihantar ke rumah anak angkat kerana ibunya tidak lagi mampu menanggung mereka. Bagi seorang kanak-kanak, itu bukan sekadar kehilangan tempat berteduh, tetapi juga luka emosi yang mendalam.

Di sekolah pula, beliau bukan pelajar cemerlang. Seorang guru pernah berkata kepadanya,
“Kamu tidak akan berjaya dalam hidup ini.”

Kata-kata itu, yang bagi sesetengah orang mungkin sekadar teguran, hampir menghancurkan keyakinan seorang kanak-kanak. Tetapi DeJoria memilih untuk tidak menjadikannya sumpahan seumur hidup.

Hidup Di Jalanan, Tidur Dalam Kereta, Namun Tidak Putus Harapan

Selepas menamatkan persekolahan, DeJoria menyertai tentera laut Amerika Syarikat sebelum kembali ke dunia awam. Beliau melakukan pelbagai pekerjaan – penghantar surat khabar, pemandu trak, penjaga bangunan, jurujual ensaiklopedia, syampu, mesin fotokopi dan insurans.

Namun kehidupan tidak selalu adil. Satu demi satu ujian datang. Perkahwinannya berakhir, isterinya meninggalkannya dan membawa pergi kereta serta wang simpanan. Pada satu tahap paling gelap dalam hidupnya, DeJoria menjadi gelandangan, tidur di tepi jalan dan dalam sebuah Rolls-Royce lama yang rosak, bersama anaknya yang ketika itu baru berusia dua tahun.

Untuk membeli makanan anaknya, beliau mengutip dan menjual botol kosong dari tong sampah.

Inilah detik yang bagi kebanyakan orang akan mematahkan semangat sepenuhnya. Tetapi tidak bagi DeJoria. Beliau masih menyimpan satu perkara yang tidak dapat dirampas sesiapa – cita-cita.

Bermula Dengan USD800 dan Botol Hitam Putih

Takdir berubah apabila DeJoria mendapat pekerjaan di sebuah pusat penjagaan rambut. Di situlah beliau bertemu Paul Mitchell, seorang pendandan rambut berbakat yang juga bergelut dengan masalah kewangan.

Daripada kesusahan bersama, lahirlah satu idea besar.

Mereka menubuhkan John Paul Mitchell Systems, sebuah syarikat produk penjagaan dan penggayaan rambut. Pada awalnya, seorang pelabur bersetuju memberikan modal USD500,000. Namun di saat akhir, pelabur tersebut menarik diri.

Sekali lagi, mereka jatuh.

Namun kali ini, mereka tidak mengalah. Mereka mengumpulkan apa sahaja yang ada – termasuk meminjam USD800 daripada ibu DeJoria. Kerana kekurangan modal, produk mereka dibotolkan dalam botol hitam putih yang ringkas, jauh lebih murah berbanding botol berwarna yang biasa digunakan pesaing.

Ia bukan strategi pemasaran, tetapi strategi kelangsungan hidup.

Dua tahun pertama, syarikat itu hanya cukup-cukup untuk bertahan. Selepas dua tahun barulah mereka mencapai titik pulang modal.

Daripada Salon Kecil ke 150,000 Salon Seluruh Dunia

Hari ini, John Paul Mitchell Systems digunakan di lebih 150,000 salon di seluruh dunia, dengan pendapatan tahunan melebihi USD1 bilion. Nama DeJoria sering disenaraikan oleh majalah perniagaan antarabangsa sebagai antara usahawan paling berjaya yang bermula dari sifar.

Namun kejayaan kewangan bukanlah perkara paling mengagumkan tentang dirinya.

Separuh Kekayaan Untuk Kemanusiaan

John Paul DeJoria terkenal dengan prinsip hidup yang jarang dipegang oleh golongan kaya:
memberi tanpa menunggu lebihan.

Beliau secara konsisten menderma sebahagian besar – dianggarkan sehingga separuh daripada pendapatannya – kepada badan kebajikan, termasuk bantuan kepada gelandangan, perlindungan alam sekitar, bantuan bencana dan pendidikan.

Baginya, kekayaan bukan ukuran kejayaan sebenar. Kejayaan sebenar ialah apabila seseorang yang pernah hidup di jalanan, memilih untuk mengangkat orang lain keluar dari kegelapan yang sama.

Pengajaran Besar Dari Seorang Lelaki Berwajah Garang

Kisah John Paul DeJoria mengajar kita beberapa perkara penting:

  • Kata-kata manusia tidak menentukan masa depan kita.
  • Kemiskinan bukan dosa, dan kegagalan bukan identiti.
  • Kejayaan yang tidak disertai nilai kemanusiaan adalah kosong.
  • Dan yang paling penting: harapan tidak pernah mati, selagi manusia tidak berhenti percaya.

Di sebalik wajah garang itu, tersembunyi satu hati yang lembut – hati seorang lelaki yang pernah tidur di jalanan, tetapi memilih untuk membina dunia yang lebih baik untuk orang lain.

Dari Jeriji Besi ke Pentas Konvokesyen: Kisah Tahanan Alor Setar Menjadi Graduan

š™†š™„š™Žš˜¼š™ƒ š™š™„š™‚š˜¼ š™š˜¼š™ƒš™š™‰ š˜æš™„ š™‹š™€š™‰š™…š˜¼š™š˜¼ š˜¼š™‡š™Šš™ š™Žš™€š™š˜¼š™, š˜æš™„š™š™„š™‰š™‚š™‚š˜¼š™‡ š™„š™Žš™š™€š™š™„, š™ƒš˜¼š™š™„ š™„š™‰š™„ š™‚š™€š™‰š™‚š™‚š˜¼š™ˆ š™„š™…š˜¼š™•š˜¼š™ƒ š™Žš˜¼š™š™…š˜¼š™‰š˜¼

Tidak pernah terlintas walau sekelumit dalam fikirannya bahawa suatu hari dia akan menghuni penjara. Selama tiga tahun di Penjara Alor Setar.

Semuanya bermula pada 20 Jun 2022. 

Hari itu, segalanya gelap. Dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 – SOSMA.

Sehari demi sehari berlalu seolah-olah jarum jam berhenti bergerak, dan burung di angkasa turut berhenti untuk terbang.  

Tiada jaminan. Tiada kebebasan.  Hanya tembok besi dan sunyi  menemani.

Beliau merupakan seorang anggota keselamatan, berkhidmat dalam bahagian perisikan. Pakaian seragam yang dulunya melambangkan maruah dan disiplin, bertukar menjadi baju ungu tahanan.

Selama tiga tahun beliau menjadi tahanan reman, menunggu penghakiman yang tidak pasti.

Usianya kini 35 tahun. Ketika ditahan, usianya baru mencecah 32 tahun. Masih muda, baru mendirikan rumah tangga. Seorang suami yang bertanggungjawab, yang mengimpikan landskap masa depan cerah. Namun takdir tidak seindah harapan.  

Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan secara tiba-tiba.

Dalam tahanan, gajinya turut ditahan. Dan di tengah kekalutan jiwa, hadir satu lagi ujian paling berat.

Isterinya memohon fasakh.

“Konflik keluarga, tekanan kewangan, dan akhirnya perceraian berlaku ketika saya di dalam penjara. Itu saat paling sukar dalam hidup saya. Jiwa saya hampir rebah. Tetapi di saat itulah saya sedar, luka yang disuluh dengan cahaya Tuhan tetap akan sembuh. 

“Tentunya Allah tidak menghukum saya. Dia sedang mendidik untuk saya  menjadi manusia yang baru,” ujarnya perlahan.

Beliau bertekad untuk bangkit semula walaupun tongkat yang dipegang hanyalah doa.

Dengan bantuan Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud dan Dr. Mazli Mutazam, serta keprihatinan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan kerjasama pihak Penjara Alor Setar khususnya Pengarah Penjara Alor setar, Suhairi Awang, beliau dibenarkan menyambung pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) dari dalam penjara.

Bayangkan, menulis tesis dalam sel sempit berukuran 8x15 kaki. Berlampu samar, tanpa kipas, tidur beralaskan pelapik getah setebal setengah inci.

Namun dari cahaya kecil di sebalik jeriji besi itulah, beliau mengumpulkan semangat untuk terus menulis dan membaca setiap hari.

“Saya menulis, membaca dan berdoa agar suatu hari nanti saya akan keluar, bukan hanya sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu itu kebebasan sebenar,” katanya.

Cabaran tetap ada. Ketiadaan internet, bahan bacaan terhad serta komunikasi yang sukar yang memungkinkan hanya kreativiti akan mengubah masalah kepada keindahan.
Pada 18 September 2024, tibalah hari yang dinantikan – hari viva.

“Saya berdiri di hadapan panel pemeriksa dengan berpakaian ungu tahanan. Tiada uniform anggota, tiada tali leher. 

Namun saya punya sesuatu yang mereka di luar tidak punya, keyakinan bahawa ilmu mampu membebaskan jiwa.

“Apabila pengerusi mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis. Hari itu saya tahu, Allah tidak pernah meninggalkan saya. 

“Hari itu juga saya diterima semula sebagai manusia, bukan tahanan penjara,” katanya dengan mata berkaca.

Tidak lama kemudian, berita tentang “Tahanan Penjara Alor Setar Lulus Viva” tular di media.

Dia tidak menyangka perjuangan sunyinya akan menjadi bualan masyarakat, namun jauh di sudut hati, dia berharap kisah ini membuka mata semua bahawa penjara bukanlah penamat hidup.

“Dan di sebalik semua ini, ada seorang insan yang tidak pernah jemu menyokong saya. Ibu saya. Beliau berjuang menyediakan apa sahaja agar saya boleh terus belajar.

“Beliau menangis, berdoa, dan percaya. Hari ini, beliaulah yang paling gembira melihat saya menggenggam segulung ijazah sarjana,” katanya lagi.
Hari ini, di Dewan Mu’adzam Shah, beliau melangkah ke pentas menerima ijazah daripada Pro-Canselor UUM, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Langkahnya bukan langkah malu, tetapi langkah syukur. Syukur atas peluang kedua yang dikurniakan.

“Saya rasakan dua kemenangan.  Pertama, dibebaskan dari tahanan penjara selepas mahkamah dapati tidak bersalah, pada 1 April 2025. Dan hari ini, kemenangan mengengam ijazah sarjana,” katanya.

Sekarang beliau mengerti makna kebebasan sebenar iaitu bukan bila pintu sel dibuka, tetapi bila minda tidak lagi dikurung oleh pandangan orang lain.

“Menjadi berbeza itu tidak selalu akan jadi yang terbaik, tetapi yang terbaik itu pasti berbeza dan sesungguhnya, menuju kejayaan kita akan pasti melalui jalan yang sepi, jalan berliku dan pastinya ia bukan jalan yang mudah, ” katanya menutup bicara.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada UUM, para pensyarah, pegawai penjara, keluarga besar Penjara Alor Setar dan yang paling utama, ibunya, yang tidak pernah berhenti percaya.

Kasih, kepercayaan dan ilmu telah mengubah seorang tahanan menjadi seorang graduan.

Masa depan tetap menjanjikan syurga buat sesiapa yang punyai keinginan untuk berubah.

UUM SINTOK, 10 NOV 2025: 
Wartawan: Kori Ariff
Foto: Fuad Stephan
#konvouum38
© all rights reserved
made with by templateszoo